Apa pengundi Tenang mahu?

Subky Latif

KEMPEN Pilihan Raya Kecil DUN Tenang, Johor antara Cikgu Normala Sudirman dari PAS dengan ADO ‘Tok Ai’ Azahar Ibrahim dari BN bermula dengan parti yang bertahan mendakwa pencabarnya, PAS menabur dan menyebar fitnah serta menyerang peribadi calon.

Mengepalai dakwaan itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin sendiri. Ia dikut oleh semua termasuk calon Tok Ai.

Kempen BN itu bermula dengan giar empat, sedang PAS baru giar satu.

Fitnah adalah asing bagi PAS. Tetapi sebelum wujud arena media baru – Facebook dan laman sesawang, Umno sudah pesat dengan sebaran surat layang. Dari kempen pemilihan cawangan hingga ke Majlis Tertinggi orang ramai menerima surat layang yang sesarat-saratnya yang sarat dengan fitnah dan serangan peribadi.

Ia budaya Umno dan orang Umno mahir dengan teknologi itu.

Tidak mustahil tektik itu diguna bagi memerangkap PAS supaya PAS habis masa untuk menjawabnya hingga terabai kerja kempen yang lain.

Dari laporan media arus perdana yang tentunya memihak kempen BN, semua telah ada. Segala yang dinamakan pembangunan telah memenuhi semua penjuru DUN Tenang dan Parlimen Labis. Tidak lagi yang tidak maju di kawasan-kawasan Felda di situ.

Apabila semua telah ada, apa lagi yang pengundi Tenang mahu? Jika Cikgu Mala menang tidak banyak lagi kekurangan hingga PRU 13 nanti. Jika Tok Ai menang, tidak banyak lagi yang hendak ditambah menjelang PRU 13 nanti kerana semuanya telah ada.

Maka apa lagi yang dimahu oleh rakyat?

Apa yang baru yang rakyat Tenang mahu ialah perubahan. Dalam PRU 12, Mac 8, 2008 dulu hampir separuh pengundi yang mengundi mahukan perubahan. Kebanyakan yang tidak mengundi dipercayai mahukan perubahan.

Hanya orang Melayu dalam Umno tidak mahukan perubahan. Yang di luar Umno mahukan perubahan. Pengundi Cina amat positif dengan perubahan. Yang tidak jadi pengundi tentu berkongsi pendirian dengan pengundi Cina itu.

Kemahuan kepada perubahan itu amat ketara di kalangan pengundi India. Hatta Samy Vellu dan orang nombor duanya di Hulu Selangor tewas bersama calon MIC yang lain. Semua calon pembangkang yang bertanding dengan MIC kecundang.

Kejayaan agen perubahan itu tidak cukup untuk membawa perubahan disebabkan ia hanya dapat mengurangkan majoriti dua pertiga BN di Parlimen. Ia belum dapat majoriti. Di negeri-negeri yang Pakatan kuasai tidak dapat melakukan perubahan total kerana cengkaman kerajaan pusat masih menyengat.

Laporan odit negara memberi kredit kepada perubahan di negeri-negeri Pakatan. Cuma media arus perdana tidak mengakui perubahan itu sudah bermula.

Apakah rakyat masih mahukan perubahan yang belum sepenuhnya dicapai itu?

Tanda-tanda menunjukkan kemahuan mahukan perubahan di kalangan orang Melayu sama kuat dengan yang berpuas hati dengan keadaan yang ada. Tidak berubahpun tidak mengapa asal bersama Umno. Pengundi-pengundi Cina bersabar menunggu perubahan. Sekalipun ia tidak dapat dicapai sepenuhnya sebelum ini, tetapi ia tidak berputus asa untuk mencuba lagi.

Tetapi apa yang berlaku di PRK Bagan Pinang dan di Hulu Selangor menunjukkan pengundi India mulai berubah balik ke belakang. Samy Vellu sendiri sanggup melepaskan pimpinan MIC asal pengundi India kembali menyokong Barisan Nasional.

Malah Perdana Menteri Najib sendiri bersedia untuk memberi apa saja kepada pengundi India bagi menghalang perubahan menyeluruh yang dituntut oleh rakyat.

Jika pengundi India mahu balik ke belakang, apa sebenarnya yang dikehendaki oleh pengundi India dalam pilihan kecil dan pilihan raya umum? Adakah pengundi India mahu apa yang masyarakat India boleh dapat saja atau ia mahu melihat perubahan total yang dihendaki oleh rakyat secara menyeluruh?

Tahun 2008 dulu pengundi India adalah bersama sekalian yang mahukan perubahan. Perubahan itu ialah mendapatkan kehidupan yang lebih baik melalui pemerintahan yang adil, memecahkan kebuntuan perkauman yang membelenggu penduduk, memerangi rasuah dan membasmikan penyelewengan, menyekat amalan boros dan pembaziran; meletakkan polis, SPR, kehakiman termasuk Jabatan Peguam Negara di landasan yang betul.

Adalah wajar pengundi India bertanya apa yang masyarakat India boleh dapat dari perkembangan politik yang ada? Dan sememangnya wajar bagi semua kaum bertanya apa yang kaum masing-masing boleh dapat dari sebuah pilihan raya.

Adalah mustahak sekolah-sekolah Tamil dapat bangunan baru dengan peralatan lengkap dan prasana yang sentiasa terurus. Tetapi ia tidak sama dengan tuntutan membebaskan perkhidmatan polis, mahkamah, jabatan penguam negara, SPRM dan lain-lain dari belenggu kebekuan yang mematikan ruh profesionalismanya.

Belenggu itu menjadikan rakyat, negara dan jenteranya beku, mundur dan hamba.

Memang semuanya sudah ada dalam negara sekarang tetapi keadaan sama seperti rakyat Hong Kong di bawah British. Mereka tidak ada kedaulatan, kebebasan dan kemerdekaan untuk menentukan nasib sendiri. Mereka mahu maruah dan kedaulatan.

Kita ada semua tetapi kita mahukan perubahan supaya kita ada maruah dan kedaulatan. Perubahan itu perlu dituntut oleh semua seperti menuntut kemerdekaan dulu. Ia bukan dituntut oleh orang Melayu saja. Ia ikut dituntut bersama oleh Cina dan India. Perubahan tidak berlaku kalau sekadar dituntut oleh Cina dan Melayu. Penyertaan India perlu seperti yang ditunjukkan tahun 2008 dulu.

Pengundi India di Tenang ada peranan bagi meneruskan perubahan yang sudah dimula itu. Mereka perlu ditanya apakah mereka mahukan perubahan untuk semua? Balik ke zaman sebelum 2008, bererti mengekalkan rasuah, penyelewengan, pembaziran, perkauman, penindasan dan tiada perubahan.

Menuntut perubahan seperti menuntut kemerdekaan semula, mesti dituntut bersama Melayu, Cina, India dan lain-lain.

No comments

Powered by Blogger.