Bersikap seperti cicak kubin dengan rakyat elok dihentikan.

Zairil Khir Johari, 28 tahun telah rasmi menjadi ahli DAP setelah memberikan pertimbangan yang serius sejak beberapa ketika. Anak kepada seorang ahli kepada Jemaah Kabinet yang pertama, Allahyarham Tan Sri Khir Johari ini mengambil keputusan kerana ramai rakan-rakan dan ahli-ahli veteran UMNO sendiri memberikan galakan untuk berbuat demikian.

Sebagai seorang anak kepada veteran UMNO dan pula seorang Menteri Kabinet Tunku Abd Rahman keputusannya itu telah mengundang banyak pertanyaan dan persoalan. Zairil dengan jelas memberikan sebab yang membuatkan beliau mengambil keputusan ini.

Pertamanya parti yang ayahnya sertai dahulu sudah tiada lagi sekarang. Yang ada sekarang hanyalah sebuah parti yang baru ditubuhkan pada 1988 dahulu yang menggunakan nama ‘UMNO’ yang telah mati itu. Beliau menambah yang umur beliau lebih tua dari usia parti itu. Parti yang bapanya sertai dahulu ditubuhkan pada tahun 1946.

Mempertahankan kritikan yang dilebelkan terhadap beliau sebagai penderhaka dan anti Melayu beliau menjawab bahawa jika bapanya masih hidup dan berusia seperti beliau sekarang sudah pasti bapanya tidak akan menyertai parti yang mengelirukan dan yang menggunakan nama ‘UMNO’ yang asal dahulu. UMNO sekarang, kata beliau hanyalah ada kepada namanya sahaja. Katanya lagi, roh dan semangatnya sudah tidak ada walaupun parti itu menggunakan nama keramat itu.

Tetapi yang patut diketahui umum, tindakan Zairil ini merupakan ‘tip of the iceberg’ tentang apa yang berlaku dibawah ini. Anak-anak muda termasuk anak-anak super veteran UMNO (UMNO asal) seperti Zairil ini memupunyai pendirian seperti ini. Jika itu adalah kebenarannya, tentu ianya bersebab. Tidak payahlah kita menyalahkan pihak-pihak yang lain untuk memberikan jawapannya.

Tentu ada sebab-sebab yang kuat kenapa mereka bertindak untuk membelakangkan kita dan mengenepikan parti gantian kepada UMNO asal itu (UMNO Baru). Kenapa kita tidak bertanya kepada diri kita sendiri kenapa mereka tidak berminat kepada kita lagi. Kalau seorang perempuan yang kita suka tidak berminat kepada kita, kenapa pula salahkan orang yang mendapat perhatian perempuan itu. Jika anak-anak muda tidak berminat kepada kita takkanlah kita nak salahkan parti pembangkang pula.

Itulah sebenarnya kesilapan kita. Tetapi kita tidak mahu menerima dan melihat yang kita mempunyai masalah yang besar hinggakan anak-anak muda tidak lagi berminat untuk menyertai dan menyokong UMNO. Apabila kita ditolak kita mulalah mengadakan demonstrasi jalanan seperti apa yang sering berlaku diSelangor.

Zairil Khir Johari adalah diantara ramai anak-anak muda yang meminati parti DAP, sebuah parti berbilang kaum yang kini masih dikuasai oleh kaum Cina. DAP telah berjaya mennunjukkan yang parti itu mampu mentadbir sesebuah kerajaan jika terpilih. Hanya kita yang merasakan kesempitan nafas apabila melihat rakyat memberikan sokongan kepada kerajaan DAP diPulau Pinang.

Maka tugas pemimpin UMNO terutamanya pemimpin pemuda mereka sendang membelek-belek dan tercari-cari jika terjumpa kesalahan sedikit sebanyak dalam pentadbiran P Pinang untuk dijadikan isu politik. Tetapi rakyat tidak terpengaruh juga dengan tindakan pemuda UMNO P Pinang untuk menjadi ‘spin doctor’ bertujuan untuk memburukkan imej kerajaan P Pinang yang ada sekarang ini. Tetapi kerajaan pimpinan Guan Eng ini tidak juga mampu diburukkan oleh pemimpin pemuda UMNO P Pinang.

Permainan biasa media perdana untuk memomokkan DAP sudah tumpul dan tidak berbisa lagi. Permainan politik oleh RTM dan TV3 dan media perdana yang lain dianggap oleh masyarakat seperti angin lalu sahaja atau apa yang kita katakan ‘masuk telinga kiri keluar telinga kanan’.

Tidak keterlaluan jika saya sebutkan yang apa pun yang kita katakan sudah tidak diyakini rakyat lagi. Jika kita berkata benar sekali pun rakyat sudah menutup telinga dan memalingkan pandangan mereka daripada kita. Sebahagian besar rakyat sudah menganggap kita sudah tidak perlu diberikan perhatian lagi.

Dalam pada itu DAP pula tidak terganggu dengan segala tuduhan yang kita lemparkan. Momokan pihak media perdana tidak mengganggu mereka untuk memperkuatkan partinya disetiap peringkat dan kawasan. Nampaknya DAP serius untuk memaparkan parti itu sebagai parti berbilang kaum dan dalam perbualan saya dengan beberapa pemimpin kanan DAP nampaknya parti itu akan menurunkan calun-calun berbagai kaum termasuk dari kaum Melayu didalam pilihanraya yang akan datang.

Zairil mungkin akan menjadi salah seorang anak muda Melayu yang akan dipilih untuk mewakili DAP didalam pilihanraya yang akan datang ini. Pihak kita akan memankan isu panas untuk menakutkan orang Melyu untuk menyokong PAS dan juga akan menggunakan isu agama yang sempit untuk menakutkan orang Cina untuk menyokong PAS.

Politik memecah-mecah ini dengan sendirinya memakan diri sendiri kerana sekarang ini rakyat tidak lagi boleh disuruh arah seperti menyuruh arah kerbau untuk membajak sawah dari pagi hingga kepetang.

Zaman untuk mendapat atau mengekalkan kuasa dengan menggunakan isu perkauman dan agama sudah sampai kepenghujungnya. Rakyat memahami hakikat yang semua rakyat berhak untuk menganut apa-apa agama dan mengakui Islam adalah agama rasmi bagi negara.Tuhan pun memfirmankan kepada kita yang manusia dijadikanNya dengan berpuak-puak dan berlainan diantara satu dengan lain bagi kita memahami dan menghormati diantara satu dengan lain.

UMNO dan pimpinan kita jangan menjadi Melayu apabila bercakap dengan orang Melayu dan menjadi Cina apabila berhadapan dangan orang Cina atau menjadi yang lain apabila bercakap dengan orang lain. Pucuk pimpinan UMNO patut berhenti menjadi cicak kubin, bertukar warna mengikut warna tempat dia hinggap. Politik secara ini membosankan semua orang yang melihat dan mendengarnya. Pemimpin seperti ini selalunya dianggap oleh ramai sebagai pemimpin yang tidak ada ‘batu pelir’.

Untuk mendapatkan sokongan pucuk pemimpin kita terpaksa berwajah yang berbagai-bagai. Ini memalukan kita yang menjadi pengikut ini. Sampai bila kita hendak bermuka-muka seperti ini?

Sikap bermuka-muka hanya dilakukan oleh seseorang yang tidak berkepimpinan dan tidak mungkin boleh membuat keputusan dengan baik. Pemimpin kita mesti belajar dari sikap bermuka-muka individu-individu yang mengelilingi pemimpin-pemimpin ini.


http://aspanaliasnet.blogspot.com/2011/01/sikao-bermuka-muka-dengan-rakyat-elok.html

No comments

Powered by Blogger.