Hakikat, Umno Hakis Kuasa Sultan -Khalid

SHAH ALAM 5 Jan – Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tidak harus timbul kekaburan mengenai hakikat kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) menghakis kuasa-kuasa Sultan bersabit pelantikan penjawat awam kanan semasa krisis Perlembagaan 1993.

“Kita telah membincangkan impak dari pindaan 1993 telah mengurangkan kuasa istana. Saya tak rasa yang Sultan tidak bersetuju dengan perkara itu, kerana ia adalah fakta sejarah,” kata Khalid.

Beliau merujuk kepada pertemuannya dengan Sultan Sharafuddin Idris Shah di Shah Alam, Isnin lalu bagi membincangkan kemelut pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan pelantikan itu tanpa mengadakan perbincangan dengan kerjaan negeri.

Tan Sri Khalid yakin kenyataan setiausaha peribadi kepada Sultan, Datuk Mohamed Munir Bani menolak bantahan kerajaan negeri terhadap prosedur pelantikan Khusrin tidak mencerminkan pendirian Istana.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat (Pakatan) amat komited untuk mengadakan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi meminda Undang-Undang Tubuh Negeri untuk mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar bagi melantik tiga pegawai eksekutif termasuk SUK.

Tan Sri Khalid berkata, kerajaan negeri meminta pakar undang-undang Profesor Dr Abdul Aziz Bari dan Param Cumaraswamy untuk membantu mengubal pindaan yang bakal diadakan.

Beliau enggan mengulas kenyataan-kenyataan pemimpin Umno yang menegaskan parti itu tidak akan menyokong usul berkenaan.

Kita akan menanganinya apabila tiba waktu berbuat demikian. Nanti kita akan lihat siapa sebenarnya yang mahu angkat kedudukan Sultan,” kata Khalid.

Semalam, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, wakil rakyat BN tidak akan menyokong usul itu.

No comments

Powered by Blogger.