Isu SUK: Ada pihak pintas kuasa MB, kata Khalid

SHAH ALAM 5 Jan – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan, beliau mengikut segala prosedur yang ditetapkan berhubung pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) tetapi pihak lain memintas kuasa beliau.

Khalid berkata, manual pelantikan rasmi kerajaan menetapkan Sultan Selangor perlu memperkenankan seorang daripada tiga calon yang dipilih Menteri Besar.

Justeru Tan Sri Khalid menubuhkan panel untuk menyaring calon-calon terbaik bagi mengisi jawatan SUK tetapi ‘belum sempat saya senarai pendekkan nama-nama itu, dah ada orang yang serah calon mereka kepada Sultan.”

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan mengumumkan bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Khusrin Munawi Mohammed sebagai SUK baru, tanpa berbincang dengan kerajaan negeri.

Tindakan itu dianggap bercanggah dengan semangat federalisme kerana SUK berperanan penting dalam memastikan pelaksanaan dasar-dasar yang ditentukan oleh kerajaan negeri.

Peraturan kerajaan juga memerlukan SUK mendapatkan kepercayaan Menteri Besar dengan mengambil ikrar menyimpan rahsia-rahsia kerajaan negeri.

Khalid berkata manual pelantikan rasmi menetapkan calon SUK yang disenarai-pendekkan oleh Menteri Besar mendapat perkenan Sultan sebelum diserah kepada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk melengkapkan pelantikan itu.

Manual menetapkan calon bakal SUK dipilih dari kalangan penjawat awam JusaA, B dan C oleh Perkhidmatan Awam.

Lapan nama telah dipilih, termasuk Datuk Mohd Khusrin Munawi diserahkan kepada Menteri Besar untuk disenarai-pendek.

Tan Sri Khalid melantik panel tiga anggota yang dianggotai Speaker, Datuk Teng Chang Khim, Exco, Datuk Dr Hassan Ali dan Exco, Dr Xavier Jayakumar untuk membantu menilai kewibawaan calon.

Malang bagi Khusrin, namanya tidak termasuk dalam tiga calon yang terbaik untuk memikul tugas SUK.

“Tidak benar kami halang pencalonan Khusrin. Namanya ada dalam senarai yang diberikan. Cuma tiga calon lain disenaraipendekkan kerana dirasakan oleh panel itu sebagai lebih baik untuk jadi SUK,” jelas Khalid.

No comments

Powered by Blogger.