‘Himpunan Menjunjung Kasih’, bukti rakyat Selangor komited

SHAH ALAM, 19 Jan -Perarakan ‘Himpunan Menjunjung Kasih Rakyat Selangor Bersama Tuanku’ Jumaat ini, bakal menunjukkan betapa rakyat Selangor komited bersama Pakatan Rakyat bagi mengembalikan semula kuasa lantikan pegawai eksekutif atau ‘ex-officio’ iaitu: Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

Dianjurkan Kelab Penyokong Pakatan Rakyat dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Selangor, Himpunan ini menyokong peranan Raja Berpelembagaan dan mempertahankan kuasa DiRaja yang sebelum ini diragut pada tahun 1993.

Wakil himpunan ini, Abu Bakar Shaari Husin, Ketua Kampung Pandamaran Jaya berkata, rakyat Selangor menyatakan ikrar taat setia kepada DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Bahawa kami rakyat Selangor berusaha sedaya upaya kami mempertahankan Institusi Raja dan berusaha sedaya upaya kami untuk memberdaya institusi Raja selaras dengan prinsip Raja Berpelembagaan,” katanya.

Himpunan ini bakal diadakan di Masjid Jamek Sultan Sulaiman di Kampung Jawa Klang, bertujuan menghantar memorandum sokongan kepada Baginda Sultan dengan satu perarakan ke Istana Alam Shah.

Penganjur mengumpulkan ketua JKKK dan berharap orang ramai yang berkesempatan boleh turut serta dalam himpunan ini.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang turut serta dalam sidang media di lobi Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah hari ini menyatakan betapa UMNO seharusnya melihat Himpunan ini sebagai ‘cue’ untuk turut serta dalam sidang Dewan Undangan Negeri Isnin depan bagi meminda Perkara 52 di Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

ADUN UMNO Selangor sebelum ini diberitakan akan memulau sidang tergempar ini.

“Kita harap melalui program ini ianya boleh mendorong UMNO khususnya untuk hadir juga dalam DUN 24 Januari ini kerana mereka melihat rakyat Melayu yang dakwanya didukung mereka (UMNO) ingin melihat Institusi Raja dipertahan. Maka mereka harus hadir dalam sidang DUN untuk beri sokongan terhadap pindaan yang dilakukan pada hari tersebut,” katanya.

Menurut Khalid, himpunan ini digerakkan bagi menunjukkan secara praktikal pegangan Pakatan Rakyat yang didakwa UMNO tidak menghormati Sultan malah cuba menggulingkan Institusi DiRaja adalah salah sama sekali.

“Perkara ini sebenarnya sudah banyak dinyatakan dan diulang berkali-kali tetapi oleh kerana masih lagi digunakan dalam perbalahan politik dan strategi politik murahan BN dalam masyarakat maka kita anjurkan secara praktikal,” katanya lagi.

No comments

Powered by Blogger.