Jualan UMW Toyota Motor Meningkat 12 Peratus Dalam 2010

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- UMW Toyota Motor Sdn Bhd telah menjual 92,000 unit kenderaan Toyota baharu pada 2010, meningkat 12 peratus daripada 82,000 unit pada tahun sebelumnya.

Presidennya, Ismet Suki, berkata syarikat itu mengekalkan agihan pasarannya bagi 2010 sebanyak lebih 15 peratus berbanding jumlah industri keseluruhan (TIV) dan masih berada pada kedudukan nombor satu dalam segmen bukan nasional bagi 21 tahun berturut-turut.

"Vios tetap merupakan model paling popular dengan jualan hampir mencecah 33,700 unit, diikuti oleh Hilux (18,600 unit) dan Camry (11,500 unit)," kata Ismet dalam satu kenyataan di sini hari Selasa.

Ismet berkata jenama Lexus berkembang sebanyak 42 peratus kepada 430 unit berbanding 300 unit pada 2009.

Kata beliau dengan prestasi jualan yang baik, perkhidmatan selepas jualan mencatat rekod dengan hampir 1.1 juta unit disenggara.

Sepanjang tahun 2010, kemudahan pembuatan, Assembly Services Sdn Bhd, mencatatkan jumlah pengeluaran tertinggi iaitu sebanyak 69,000 unit setahun, sejak ia mula beroperasi pada 1968, katanya.

Mengenai unjuran jualan bagi 2011, Ismet berkata TIV dijangka pada sekitar 600,000 unit.

"Kami yakin dengan keadaan pasaran kenderaan bermotor sekarang dan menjangka momentum ini berlanjutan hingga ke bulan-bulan akan datang," katanya.

Beliau berkata syarikat itu merancang untuk melancarkan model-model baharu tahun ini dan antara kenderaan yang dijangka dilancarkan dalam suku pertama ialah model hibrid Lexus, CT 200h.

"Ini merupakan model hibrid Lexus yang ketiga selain LS 600h L dan RX 450h yang dilancarkan pada akhir tahun lalu," kata Ismet.

Menurut Ismet syarikat itu akan mengembangkan rangkaian jualan dan selepas jualannya tahun ini.

"Antara wakil jualan dan kemudahan baharu yang sedia untuk dilancarkan ialah bilik pameran baharu Lexus di Johor Bahru, yang mula beroperasi semalam, sebuah bilik pameran di Lembah Klang menjelang akhir tahun dan sebuah pusat jualan, penyenggaraan dan alat ganti Toyota di Ipoh," jelasnya.

Kata Ismet untuk menyediakan perkhidmatan selepas jualan yang lebih baik, UMW-Toyota merancang untuk meningkatkan bilangan ruang penyenggaraan sebanyak 14 peratus tahun ini, dan menambah 22 peratus lagi ruang penyenggaraan badan kenderaan dan mengecat.

"Proses penyerahan kenderaan sentiasa penting dalam jualan kereta baharu.

Dengan hasrat memperbaiki masa penyerahan kepada pelanggan kami, kami akan juga melabur RM200 juta untuk menubuhkan dan mengembangkan kemudahan Ruang Simpanan Pusat kami di Bukit Raja, Klang," katanya.

Projek itu, yang bermula tahun lepas, dijangka siap dan memulakan operasi dalam suku ketiga tahun ini, katanya.

No comments

Powered by Blogger.