KAFA mahu pajak stadium RM10j

http://kosmo.com.my/kosmo/pix/2011/0101/Kosmo/Sukan/su_05.1.jpg

ANNUAR (kiri) mempengerusikan mesyuarat agung KAFA kali ke-56 di Kota Bharu semalam.

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) membuat tawaran untuk memajak Stadium Sultan Muhammed Ke-IV daripada kerajaan negeri itu untuk tempoh 30 tahun dengan nilai RM10 juta.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia membolehkan pihaknya menaik taraf stadium yang agak daif sebelum ini dalam usaha menjadikan Kelantan sebagai tuan rumah kejohanan peringkat lebih tinggi.

Menurutnya, pajakan tersebut bukanlah bertujuan mengambil alih sepenuhnya pengurusan stadium, sebaliknya hanyalah untuk menaikkan imej bola sepak Kelantan dan negara.

"Jika kerajaan negeri melalui Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) bersetuju, KAFA akan membayar dengan jumlah tersebut.

"Dalam tempoh itu, stadium ini akan berubah wajah daripada apa yang ada sekarang.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat agung KAFA kali ke-56 di Kota Bharu semalam.

Pada mesyuarat itu, Annuar diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawa- tan presiden untuk tempoh tiga tahun lagi manakala jawatan timbalan presiden kini dipegang Datuk Afandi Hamzah.

Annuar yang juga Timba- lan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberitahu, FAM sebelum ini pernah meminta PSK bertindak segera menaik taraf kemudahan stadium yang sudah uzur.

Ini kerana, jika tidak FAM boleh mengambil tindakan untuk tidak membenarkan sebarang kejohanan peringkat kebangsaan seperti Liga Malaysia diadakan di stadium tersebut.

Beliau berkata, surat tunjuk minat telah pun dihantar kepada perbadanan berkenaan untuk dipertimbangkan.

"Perbadanan telah pun membalas surat berkenaan yang meminta KAFA memperincikan beberapa perkara lagi bagi dipertimbangkan di peringkat yang lebih tinggi.

"Beberapa pihak telah menyatakan persetujuan untuk menjadi rakan kongsi KAFA bagi membantu menaik taraf stadium itu jika kerajaan negeri bersetuju untuk memajaknya," ujarnya.

Sementara itu, KAFA bercadang untuk membuka keanggotaan KAFA kepada peminat seperti yang dilakukan oleh kelab terkemuka di luar negara bagi membantu menaikkan imej persatuan tersebut.

"Kita akan buka keanggo- taan dengan yuran yang paling murah dan dengan ini pelbagai insentif akan diberi selain dapat bersama-sama membangunkan sukan bola sepak di negeri ini.

"Selain itu KAFA akan menubuhkan sebuah syarikat anak miliknya bagi menguruskan pasukan The Red Warriors bagi merealisasikan hasrat membawa sukan tersebut ke tahap lebih profesional," jelasnya.

Tambahnya, dengan adanya syarikat itu nanti, ia membolehkan KAFA menumpukan perhatian membangunkan sukan tersebut di peringkat lain seperti menghidupkan liga peringkat daerah.

No comments

Powered by Blogger.