Bapa harap Khairul Fahmi tak lupa diri

http://kosmo.com.my/kosmo/pix/2011/0101/Kosmo/Sukan/su_03.1.jpg

KEPULANGAN Khairul Fahmi ke Kota Bharu akan disambut secara besar-besaran pada Isnin ini.

"JANGAN mudah lupa diri dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan lagi potensi yang ada dalam diri untuk terus berjaya pada masa hadapan".

Demikian amanat dan nasihat seorang ayah, Che Mat Hussain, 58, kepada anaknya, Khairul Fahmi, 21, yang merupakan penjaga gol utama pasukan kebangsaan dan Kelantan.

Menurutnya, seluruh ahli keluarga bangga dengan pencapaian yang ditunjukkan Khairul Fahmi atau lebih mesra dengan panggilan 'Pak Su' di kalangan ahli keluarga selepas berjaya membantu Harimau Malaya bergelar juara buat kali pertama pada kejohanan bola sepak Piala Suzuki AFF 2010, Rabu lalu.

"Kami semuanya terkejut dengan apa yang telah ditunjukkan olehnya sepanjang tahun ini. Mungkin ini rezeki buatnya untuk terus maju dalam bola sepak.

"Kejayaan ini adalah berkat usaha dan displin yang tinggi yang ditunjukkan serta semangat tidak mudah putus yang ada dalam diri- nya," kata Che Mat Hussain ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dusun Raja, Cherang, Kota Bharu semalam.

Tambahnya, sebelum turun beraksi di atas padang, anaknya itu akan menghubunginya terlebih dahulu untuk memohon restu dan meminta keluarga mendoakan kejayaannya.

"Setiap kali beraksi baik untuk Kelantan mahupun negara, dia (Khairul Fahmi) akan menghubungi saya dan ibunya supaya mendoakan keselamatan dan kejayaannya," ujarnya.

Akhbar semalam melaporkan, persembahan cemerlang penjaga gol Malaysia itu bukan sekadar menarik peminat baru ke akaun Facebook, malah menempatkannya di kedudukan kelima tertinggi di seluruh dunia bagi trend terkini laman web sosial Twitter.

Dalam tempoh sejam, penjaga gol kelahiran Kelantan yang sebelum ini tidak begitu dikenali, meningkat secara mendadak ke tempat kelima menumpaskan Support Timnas yang menyokong pasukan bola sepak Indonesia.

Menyentuh mengenai minat Khairul Fahmi dalam bola sepak, ayahnya memberitahu, ia bermula ketika dia berumur lapan tahun lagi dan apa yang menarik mengenai Khairul Fahmi, dia hanya minat beraksi sebagai penjaga gol sahaja.

"Dari kecil lagi, dia cukup minat dengan posisi itu dan mula beraksi bersama pasukan sekolahnya, Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang ketika berumur 12 tahun.

"Selepas itu, dia melanjutkan pelajaran di Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP) Johor Bahru sebelumdan berpindah ke Seko- lah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) untuk mengambil Sijil Pela- jaran Malaysia (SPM)," ujarnya.

Dalam pada itu, Che Mat memberitahu, satu sambutan besar-besaran akan dilakukan oleh penduduk kampung dengan kerjasama wakil rakyat untuk menyambut kepulangan Khairul.

"Majlis itu akan diadakan pada 3 Januari ini," ujarnya.

No comments

Powered by Blogger.