Kerajaan Pakatan S’gor sangkal tuduhan pembangkang

SHAH ALAM, 11 Jan – Kerajaan negeri menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menganggap kulit buku latihan sekolah yang diagihkan secara percuma kepada pelajar miskin di negeri ini mempunyai agenda politik.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, maklumat kulit buku tersebut tidak mempunyai unsur politik kerana ia sekadar menyenaraikan dasar kerajaan negeri yang perlu diketahui umum.

Menurutnya, dakwaan sesetengah pihak bahawa perlaksaan pemberian buku latihan secara percuma itu sebagai mempunyai agenda politik berikutan tertulis manifesto yang dilaksanakan Pakatan Rakyat (Pakatan), adalah satu bentuk ’saluran maklumat’ kerja-kerja pengurusan kerajaan negeri ini kepada rakyat semata-mata.

“Tindakan sedemikian bertujuan untuk memberitahu rakyat mengenai usaha yang dilakukan kerajaan negeri untuk rakyat, bahawa kerajaan negeri menggunakan wang rakyat bukannya untuk perbelanjaan percutian.

“Ia juga bukanlah agenda politik tetapi maklumkan kepada rakyat mengenai dasar kerajaan dan perlaksanaan program yang telah dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Halimah berkata, selama ini rakyat di negeri ini ingin tahu mengenai apa yang telah dilakukan kerajaan negeri.

Semalam, akhbar ini melaporkan reaksi Ketua Penerangan Pemuda UMNO bahagian Sungai Besar, Zainuddin Jubri yang menyifatkan tindakan tersebut boleh diklasifikasikan mengandungi agenda politik berikutan kulit buku itu mempunyai slogan dan manifesto yang dilaksanakan Pakatan.

Difahamkan setiap pelajar kurang kemampuan menerima 20 buah buku latihan yang akan digunakan mereka pada sesi persekolah tahun ini.

Difahamkan, Kerajaan Negeri membelanjakan lebih RM650.000 bagi membekalkan lebih sejuta naskhah buku kepada semua 56 Dewan Undangan Negeri (Dun) termasuk kawasan parlimen tanpa mengira latar belakang politik.

No comments

Powered by Blogger.