Pakatan Rakyat cabar Adun BN hadir sidang khas DUN 24 Jan

Oleh Yow Hong Chieh


SHAH ALAM, 11 Jan – Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mencabar wakil rakyat Barisan Nasional (BN) agar hadir sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) hujung bulan ini bagi membuktikan sokongan mereka kepada Sultan Selangor.

Khalid berkata, sidang khas itu adalah “ujian asid” bagi BN Selangor yang selama ini mendakwa mereka setia kepada negeri dan juga Sultan.

Yang Dipertua PAS Shah Alam itu menambah, beliau tidak menjangkakan Adun BN akan muncul pada sidang khas 24 Januari ini atas alasan mereka “pengecut”, yang hanya tahu untuk menyerang kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu menggunakan taktik-taktik kotor.

“Buktikan kalau saya salah,” kata beliau.

Khalid juga berkata usul pindaan perlembagaan kemungkinan tidak akan menerima kelulusan, tetapi menekankan, sidang khas kali ini akan membuktikan Umno dan BN sebenarnya merupakan penderhaka kepada negeri dan Sultan.

Selangor akan mengadakan sidang khas 24 Januari ini untuk menyelesaikan kemelut semasa ekoran pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Teng Chang Khim hari ini berkata sidang khas itu akan diadakan 24 Januari dan surat rasmi memanggil persidangan telah pun dikeluarkan.

Dalam laporan awal pagi, The Malaysia Insider melaporkan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat tidak meletakkan harapan akan memperoleh majoriti dua pertiga yang diperlukan dalam usahannya meminda perlembagaan negeri, tetapi berpendirian tetap mahu meneruskan sidang khas Dewan Undangan Negeri bagi “mendedahkan sikap” Umno yang sebenarnya.

The Malaysian Insider difahamkan kerajaan negeri sudah pun menjangkakan yang cubaan mereka meminda perlembagaan bagi mengembalikan kuasa pelantikan pegawai-pegawai kanan perkhidmatan negeri kepada Sultan dan Menteri Besar ekoran kemelut pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri baru, tidak akan berjaya.

“Kami menjangkakan bahawa pindaan tidak akan berjaya kerana Umno atau BN (Barisan Nasional) (hanya) mahu merampas kuasa negeri,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

“Bagaimanapun, kami mahu meneruskan usaha ini, jadi rakyat akan tahu bahawa Umno bukan sahaja memperlekehkan kuasa Sultan, tetapi juga memperkecilkan kuasa negeri,” katanya.

Keputusan itu dicapai pada majlis taklimat ringkas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dengan ahli-ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat di Shah Alam, semalam.

Pakatan Rakyat mempunyai 35 wakil di Dewan Undangan Negeri yang memperuntukkan sebanyak 56 kerusi dan memerlukan sokongan dua pertiga untuk meminda perlembagaan.

Sumber itu juga berkata, sidang khas kali ini juga bertujuan mengetepikan dakwaan Umno bahawa Pakatan Rakyat menderhaka pada institusi diraja.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar membayangkan Umno-BN akan menolak pindaan ini.

Semalam, satu sumber memberitahu bahawa Selangor akan memfokus untuk menyelesaikan pertikaian pelantikan Khusrin selepas sidang Dewan Undangan Negeri khas.

No comments

Powered by Blogger.