Kerajaan Selangor - Jika bapa kencing berdiri, cuba jangan kencing berlari.

Perbilangan orang tua-tua dahulu banyak benarnya. Salah satu darinya ialah ‘kalau bapak kencing berdiri anak kencing berlari’. TS Khalid telah mengumumkan bahawa semua ADUN yang mewakili PR akan mendapat RM1 juta untuk menampung pembangunan kecil-kecilan dikawasan masing-masing. Ini bermakna ADUN-ADUN BN yang merupakan wakil-wakil pembangkang diSelangor tidak akan mendapat peruntukkan itu.

UMNO Selangor memberikan reaksi yang marah-marah dengan keputusan TS Khalid itu dan menganggapnya sebagai tidak adil dan menuduh TS Khalid sebagai hipokrit kerana cakap tak serupa bikin. Itulah yang dikatakan oleh Dr Mohd Khir Toyo semalam. Isu ini merupakan isu yang sangat menarik untuk ditelaah.

Jika semua pihak mahu mengambil isu ini untuk dijadikan pelajaran, ambillah kesempatan yang ada ini untuk masing-masing memperbaikki etika dan kepimpinan yang telah dilunaskan oleh sistem demokrasi yang kita amalkan. Ada perbilangan Inggeris yang boleh kita jadikan sebagai peringatan kepada kita; ‘what goes around comes around’.

Sebagai pihak yang memerintah (diperingkat persekutuan) kita menghadapi pembangkang dengan tidak memberikan peruntukkan kepada wakil-wakil rakyat kawasan kawasan-kawasan pembangkang dan ini telah menjadi amalan kita yang telah menerajui kerajaan sejak merdeka dahulu. Ini telah menjadi budaya yang sebati dan kita lihat disini bahawa rakyat tidak dihormati oleh pihak kita kerana tidak memberikan undi kepada kita.

Dari satu sudut saya berasa sukacita dengan apa yang dilakukan oleh TS Khalid ini; setidak-tidaknya pihak kita merasakan bagaimana peritnya sebagai pembangkang dinegeri Selangor kerana itulah yang dialami oleh rakyat bukan sahaja diSelangor tetapi diseluruh negara apabila mereka menggunakan kuasa undi mereka kepada parti yang lain dari UMNO atau pun BN.

Dulu kita mempunyai persepsi bahawa peruntukan kecil ini hanya untuk parti yang memerintah dan kita lupa wang atau dana itu juga datangnya dari cukai dari rakyat tanpa mengira perbezaan politik, agama dan bangsa yang tinggal dinegara ini. Kalaulah benar peruntukkan itu hanya untuk parti dan penyokong yang memerintah, sepatutnya dipulangkan balek semua wang yang dikutip dalam bentuk berbagai macam cukai kepada ahli-ahli pembangkang.

Menginiaya rakyat memang perkara yang biasa yang telah dilakukan oleh BN selama ini dan tidak siapa yang menegur dan membuat introspeksi terhadap pemimpin-pemimpin kerajaan kita. Sepatutnya jika kita benar-benar bertanggungjawab dan menerima demokrasi yang dilaung-laungkan itu sesiapa pun yang dipilih oleh rakyat, tak kira BN atau pembangkang mesti diberikan peruntukan itu kerana itu adalah kehendak rakyat yang demokratik.

Perlu diingat wang itu juga datangnya dari mereka yang menyokong pembangkang yang sama-sama membayar berbagai-bagai cukai kepada perbendaharaan negara dan negeri. Berbagai helah samada dari segi politik dan undang-undang dicari untuk meminggirkan negeri dan kawasan yang diwakili pambangkang. Sepatutnya jika kita benar-benar bertanggungjawab kita mesti mencari segala usaha untuk membantu, bukannya untuk menginiaya.

Jika BN tidak dapat menerima hakikat demokrasi maka kita ubah sahaja sistem pemerintaha negara kita. Wujudkan sistem yang hanya membolehkan BN memerintah dan tidak payah kita nak bermain-main dengan undang-undang.

Sekarang saya ingin menyeru kepada kerajaan Selangor supaya melakukan perkara yang berbeza dengan BN. Berikan jugalah peruntukkan itu kepada wakil BN. Jika kerajaan PR Selangor melakukannya maka rakyat akan dapat memberi penilaian yang tinggi kepada kerajaan negeri pimpinan Khalid dan nescaya PR akan kembali menjadi pihak yang berkuasa diSelangor dalam jangka masa yang panjang.

Mari kita lakukan yang terbaik untuk rakyat. Sikap menginiaya itu adalah budaya politik yang selalu lihat dilakukan oleh BN. Jika PR mahukan perbezaan maka jangan ikut tari dan pencak BN itu.

Untuk mencari perdamaian mesti ada satu pihak yang ada kedinginan pemikiran. Kepada PR Selangor saya mencadangkan supaya dilakukan apa yang ‘needful’ untuk menyemarakan semangat demokrasi itu. Kepada kerajaan Selangor, terajuilah politik secara baru dan politik secara ini memang dilakukan dinegara-negara maju. Tunjukan perbezaan itu, TS Khalid. Saya mengenali TS Khalid begitu lama dan saya tahu beliau mampu melakukan politik secara baru ini.

Orang ramai telah lama menunggu BN untuk melakukannya tetapi tidak nampak sikap itu bertunas dipihak parti pemerintah diPersekutuan ini. Jadi biar Khalid dan kerajaan Selangor yang memulakan langkah menyuburkan demokrasi ini. Sejukanlah hati dan jiwa rakyat. Ikutlah contoh yang baik dan elakan dari meniru contoh yang buruk. Lama kelamaan rakyat akan faham dan berterima kasih kepada kerajaan Selangor.

Biar BN pula yang mengikut langkah yang baik ini jika mereka masih ada hidayahnya. Jangan kita mengharapkan hidayah itu datang dari pihak BN. Sekarang inilah peluang yang terbaik untuk PR menunjukan sikap keterbukaannya dalam mentadbir negeri dan negara.

Jangan merasa letih dan jemu dalam mencari kebaikan ini. Mencari kebaikan itu adalah perjuangan sepanjang hayat. Itulah fardhu kifayah yang sangat suci. Melakukan fardhu kifayah secara intensif adalah jalan yang paling singkat untuk kesyurga.

http://aspanaliasnet.blogspot.com/2011/01/kerajaan-selangor-jika-bapa-kecing.html

No comments

Powered by Blogger.