Ummi mahu bantu kempen BN ‘elak’ tsunami politik 2008

Oleh Adib Zalkapli

PETALING JAYA, 13 Jan – Ummi Hafilda Ali, saksi utama kes liwat pertama dan salah guna Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertekad mahu berkempen secara aktif untuk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 mengelakkan tsunami politik 2008 berulang.

Ummi mendakwa kehadirannya dalam kempen BN akan dapat menghalang keputusan Mac 2008, yang menyaksikan Pakatan Rakyat menafikan perikatan itu kedudukan selesa tradisi – majoriti dua pertiga di Parlimen.

“Jika sesiapa berminat untuk menjemput saya, saya akan pergi. Sesetengah orang mengatakan Anwar penceramah ulung, tetapi saya tahu beliau takut dengan saya,” kata Ummi pada sidang media di sini hari ini.

Menjelang pilihan raya umum 2008, adik timbalan presiden PKR Azmin Ali ini, aktif berucap dalam perhimpunan-perhimpunan anjuran Umno di mana dia berkongsi pengalamannya mendedahkan salah laku seks Anwar kepada Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu merupakan perdana menteri.

Anwar kemudian disabitkan kesalahan salah guna kuasa dan liwat tetapi dibebaskan pada 2004.

Bekas timbalan perdana menteri itu, yang kini Ketua Umum Pakatan Rakyat, berhadapan dengan kes liwat kedua, yang dibawa ke atasnya akhir 2008.

“Dalam pilihan raya umum ke-12, apabila saya tidak mengambil bahagian dalam kempen, anda boleh lihat macam mana angkuhnya Anwar apabila menyebarkan pembohongan, kerana pembohongan beliau kita hilang enam negeri kepada pembangkang,” kata Ummi.

“Jika saya berkempen ke seluruh negara, ia akan mengakhiri Anwar sebab saya tahu rahsianya,” kata beliau.

Ummi berkata meskipun tanpa jemputan daripada Umno dia tetap akan meneruskan jelajah ke seluruh negara.

“Saya ada strategi saya,” kata Ummi yang mendakwa dia seorang ahli Umno.

“Bagi saya, saya tiada sebab untuk takut, sebenarnya saya mencabar beliau untuk berdebat dengan saya. Beliau (Anwar) tidak perlu berdebat dengan perdana menteri,” kata beliau merujuk kepada cabaran Anwar kelmarin agar Datuk Seri Najib Razak berdebat dengannya berhubung dasar ekonomi Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional.

No comments

Powered by Blogger.