KJ : Sertai Saya dan DPP untuk terus Berjuang

1. Saya terbaca kenyataan Yb. Sdr Khairy Jamaludin Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang menyatakan hasrat untuk berehat dan berundur dari pentas politik negara serta tidak lagi bersedia untuk mempertahankan kerusi Parlimen Rembau yang beliau wakili sekarang. Sebelumnya saya terbaca dari laman twitter beliau yang menyatakan hasrat serupa.

2. Saya terlebih dahulu menghormati hasrat peribadi beliau yang saya kira sebagai satu manifestasi penyisihan beliau dari menganggotai kabinet Datuk Seri Najib Abd Razak sebelum ini sedang beliau adalah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kebangsaan dan Ahli Parlimen Rembau .

3. UMNO di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib jelas tidak mahu menghargai malah tidak menghormati Yb Khairy Jamaludin yang dipilih sebagai pemimpin Pergerakan Pemuda UMNO sebaliknya mengambil Yb Datuk Razali orang no 2 dalam Pergerakan Pemuda UMNO ke jawatan Timbalan Menteri. Ini juga dilihat satu tamparan hebat buat Yb Khairy Jamaludin .

4. Yb. Khairy Jamaludin mempunyai potensi dan bakat kepimpinan yang baik terutama untuk mendekati anak - anak muda negara pada hari ini dan saya kira ia lebih sempurna serta menjadi nilai tambah yang lebih baik jika Yb Khairy melengkapkan diri dengan ilmu dan fikrah Islam yang mantap lalu menyertai Gerakan Islam ini untuk memperjuangkan Islam dan memimpin anak - anak muda menerajui kebangkitan dan perubahan era ini ke arah membina peradaban yang sejahtera dan negara yang aman membangun .

5. Apa yang boleh saya katakan kepada beliau ialah , " Marilah bersama saya dan rakan - rakan Dewan Pemuda PAS untuk menyertai perjuangan Islam dan mempelopori gerakan anak muda yang bangkit seimbang antara tuntutan Amal Islami dengan keperluan Transformasi Politik dalam negara kita ".

6. Tidak baik mempersiakan bakat kepimpinan yang sedia ada sedang ia masih boleh digilap dan disempurnakan untuk menjadi seorang pemimpin anak muda yang berilmu dan beramal soleh.

7. Jika Yb Khairy sudah berasa letih dan bosan dengan politik lalu memilih untuk berehat , saya jangka ia adalah respon kepada situasi politik dalaman UMNO yang beliau hadapi . Sedang jiwa seorang pejuang mana mungkin boleh berehat dari perjuangannya. Justeru itu saya menghulur tangan mengundang Yb Khairy Jamaludin untuk menyertai perjuangan Islam ini kerana indahnya perjuangan ini , ia tidak semata - mata berorientasikan gerakan politik sebaliknya diseimbangkan dengan gerakan tarbiyyah untuk membina aqidah yang benar , pemikiran Islam yang jelas dan syakhsiyah yang soleh serta gerakan dakwah untuk menyedarkan ummah agar kembali mengabdikan diri kepada Allah swt.

8. Akhirnya saya mendoakan agar rakan sejawatan saya Yb Sdr Khairy Jamaludin dikurniakan Allah swt akan kesejahteraan serta kekuatan untuk mendepani cabaran dan pentunjuk demi membuat pilihan yang tepat dan benar.

[Sumber]

No comments

Powered by Blogger.