‘Madu mahu lihat saya mati’

Oleh Nahar Tajri
http://www.bharian.com.my/articles/2011010907063920110109070639/pix_gal0

Isteri pertama kena 42 jahitan dakwa suspek berniat bunuh kerana cemburu

ALOR SETAR: Mangsa tetak yang cedera parah di muka akibat ditetak madunya di Kampung Seri Muda, Sungai Korok di sini kelmarin, mendakwa suspek sememangnya berniat membunuhnya kerana perasaan cemburu selepas dua minggu mereka tinggal bersama di rumah berkenaan.

Siti Aminah Hanapi, 50, mendakwa ketika kejadian itu kelmarin, suspek turut menghamburkan kata-kata kesat dan menyatakan keinginannya untuk melihatnya mati sambil menetak kepala dengan parang beberapa kali.
“Selepas menetak kepala saya, dia terus mencekak baju saya dan berkata ‘biaq mampuih hang’ (biar mampus kau). Saya tidak tahu kenapa dia bertindak begitu, tapi saya tahu dia memang cemburu dan berniat membunuh saya,” katanya yang menerima 42 jahitan di dahi dan pipi kirinya selain urat tiga jari kanannya putus akibat tetakan itu.
Katanya, dua hari sebelum kejadian, madunya yang berusia lewat 20-an itu banyak menghabiskan masa berkurung dalam bilik bersama bayi lelakinya berusia lapan bulan.

“Namun pada hari kejadian, saya menyuruh anak saya, Nurul Shuhada Saad, 17, memanggil ibu tirinya itu danmembawabayi itu keluar untuk diberi makan.

“Disebabkan tiada jawapan dari dalam bilik, Nurul Shuhada cuba memanjat dinding untuk melihat ke arah dalam bilik sebelum tiba-tiba wanita itu cuba menetaknya.

“Selepas itu dia terus meluru ke arah saya dan menetak bahagian dahi dan pipi menggunakan parang sepanjang kira-kira 40 sentimeter itu. Saya tidak tahu di mana dia ambil parang itu, tetapi saya agak ia memang sudah disimpan suspek di dalam bilik itu,” katanya.
Menurutnya, suami, Saad Husin, 45, berkahwin dengan wanita itu di Thailand tanpa pengetahuannya kira-kira dua tahun lalu sebelum membawa isteri mudanya tinggal bersama dua minggu lalu kerana mahu mengurangkan beban tanggungan.

“Sepanjang tinggal bersama, tidak pernah berlaku sebarang pergaduhan. Malah, kami turut makan semeja selain bersembang, cuma madu saya itu kadang-kadang lebih suka berkurung di dalam bilik,” katanya.

Sementara itu, polis menahan seorang isteri muda yang didakwa menetak madunya di rumah abangnya petang semalam dan akan dibawa ke mahkamah hari ini bagi mendapat perintah tahanan reman.

Suspek yang dibawa suaminya ke rumah abangnya di Kuala Nerang sejurus kejadian kelmarin, ditahan kira-kira jam 3 petang semalam untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan, Sawaludin Hamenudin, ketika dihubungi semalam, mengesahkan penahanan itu bagi mengambil keterangan suspek mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Kita menahan suspek kira-kira jam 3 petang tadi (semalam) dan kita akan bawa dia ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman esok (hari ini),” katanya.

No comments

Powered by Blogger.