MB Selangor: Kuasa 1993 dipulih, syor pindaan dapat perkenan Sultan

Oleh Shazwan Mustafa Kamal

SHAH ALAM, 19 Jan — Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan kandungan pindaan perlembagaan negeri yang disyorkan - berkaitan kuasa dan proses pelantikan tiga pegawai tertinggi perkhidmatan negeri, yang akan dibahaskan pada sidang khas Dewan Undangan Negeri, 24 Januari ini.

Syor pindaan itu telah dipersembahkan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pagi ini dan menerima perkenan baginda.

Menteri Besar (gambar) berkata pindaan itu membolehkan kuasa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri kembali ke kedudukan asal peruntukan sebelum ia dipinda pada 1993.

“Pindaan yang kita akan cadangkan ialah Perkara 52 di Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dengan menggantikan Fasal (1) dengan Fasal Duli Yang Maha Mulia hendaklah atas cadangan Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan dengan suratcara di bawah Tandatangan Baginda dan Mohor Kerajaan melantik seorang yang memegang jawatan sepenuh masa di dalam perkhidmatan awam masing-masingnya untuk menjadi Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

“Dengan Syarat sebelum bertindak di atas cadangan Suruhanjaya Perhidmatan yang berkenaan, Duli Yang Maha Mulia hendaklah mempertimbangkan nasihat Menteri Besar dan boleh sekali merujuk balik cadangan tersebut kepada Suruhanjaya Perkhidmatan supaya ia boleh dipertimbangkan semula.”

No comments

Powered by Blogger.