Isu MPSJ: Pemimpin sabotaj Pakatan perlu ‘dihukum’, kata Khalid

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

SHAH ALAM, 19 Jan — Khalid Samad menggesa kerajaan negeri Pakatan Rakyat mengambil tindakan terhadap pemimpin dan individu yang dilihat sebagai punca di sebalik isu kontroversi larangan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) — tindakan yang dilihat mensabotaj gabungan tiga parti itu.

Ahli Parlimen Shah Alam berkata demikian sambil merujuk keputusan MPSJ yang menguatkuasakan larangan Muslim bekerja di premis-premis yang menjual minuman keras kerana pihaknya tidak pernah mempersoalkan undang-undang Syariah.

Khalid berkata kerajaan negeri yang dipimpin Tan Sri Khalid Ibrahim perlu mengambil tindakan tegas terhadap individu yang “membelakangi” keputusan yang dibuat MPSJ itu.

“Parti kena ambil tindakan, di MPSJ kena teliti siapa yang timbulkan? Kenapa buat macam itu? Parti kena teliti.

“Kena kenal pasti macam mana timbul isu macam ini,” kata beliau pada sidang media di pejabatnya di sini.

Menurut Khalid, kontroversi yang ditimbulkan termasuk isu arak di Selangor adalah satu perbuatan sabotaj yang dilakukan pihak tertentu.

“Parti mesti mengambil tindakan tegas kepada mereka yang bertindak bersendirian dalam membuat keputusan, orang macam ini parti kena ambil tindakan.

“Orang-orang macam ini boleh menimbulkan masalah, ia adalah satu perbuatan sabotaj.

“Kerajaan negeri perlu bertindak kepada sesiapa sahaja yang buat macam ini, yang menimbulkan masalah dan mahu menjejaskan Pakatan Rakyat. Kena ambil tindakan yang akan mendisiplin orang macam ini,” katanya.

Yang Dipertua PAS Shah Alam itu juga berkata, segala keputusan yang mahu dibuat perlu mengadakan perbincangan terlebih dahulu.

“Dalam Pakatan Rakyat tiada ‘big brother’, apa-apa keputusan yang dibuat perlu berbincang terlebih dahulu.

“Kerajaan negeri perlu selesaikan setiap isu di peringkat negeri sebelum kemukakan kepada masyarakat.

“Kita bukan lagi pembangkang (di Selangor), kita perlu selesaikan masalah, kita perlu tahu macam mana nak selesaikan masalah,” katanya.

Awal minggu lalu dilaporkan bahawa MPSJ telah memutuskan untuk mengambil tindakan membatalkan lesen perniagaan premis yang melanggar enakmen itu, tetapi Exco Kerajaan Negeri Selangor Ronnie Liu kemudian mengarahkan agar keputusan itu ditarik balik.

Ekoran keputusan itu, kerajaan negeri Selangor berbelah bahagi dalam isu tersebut memandangkan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Hasan Ali yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor tidak bersetuju dengan arahan Liu.

Hasan bertanggungjawab ke atas soal agama Islam manakala Liu pula pentadbiran pihak berkuasa tempatan.

Bagaimanapun Liu mempertahankan bahawa keseluruhan Exco Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menarik balik keputusan MPSJ sementara kajian susulan dikendalikan.

Kelmarin, Khalid berkata, tiada undang-undang yang melarang orang Islam bekerja di premis hiburan sebagai syarat untuk memperbaharui lesen perniagaan di Selangor, sebaliknya ia hanyalah garis panduan dan peringatan yang dimulakan sejak tahun lepas.

Beliau berkata, garis panduan dan peringatan itu sebagai nasihat kepada pemilik premis hiburan yang beroperasi di Selangor supaya menghormati permintaan kerajaan negeri untuk tidak mengambil pekerja di kalangan orang Islam.

No comments

Powered by Blogger.