MB Selangor tak layan gesaan Muhyiddin letak jawatan

Oleh Boo Su-Lyn


KUALA LUMPUR, 26 Jan — Tan Sri Khalid Ibrahim menolak gesaan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam agar beliau meletakkan jawatan Menteri Besar Selangor ekoran kegagalan kerajaan negeri meminda perlembagaan negeri kelmarin.

“Beliau (Muhyiddin) tidak baca undang-undang Parlimen,” kata Khalid kepada pemberita di sini hari ini.

“Hanya klausa yang berkaitan dengan kewangan (yang memerlukan letak jawatan). Di Selangor, jika anda tidak dapat meluluskan bajet, maka anda (MB) kena letak jawatan,” kata beliau lagi.

Semalam Muhyiddin, Timbalan Perdana Menteri berkata, seseorang Menteri Besar yang gagal mendapat sokongan majoriti dalam sidang Dewan Undangan Negeri patut meletak jawatan.

Beliau berkata kegagalan mendapatkan sokongan majoriti membuktikan kredibiliti yang lemah Menteri Besar terbabit.

“Sepatutnya beliau (Menteri Besar) meletak jawatan kerana tak dapat sokongan majoriti di DUN,” katanya.

Selangor, yang mengadakan sidang khas kelmarin, gagal mendapat sokongan majoriti dua pertiga untuk meminda Perkara 52 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri 1959.

Usul pindaan rang undang-undang, yang dibentangkan Khalid, bertujuan mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai eksekutif Selangor iaitu Setiausaha Kerajaan Selangor, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar.

No comments

Powered by Blogger.