SPR kertas undi pos hari ini

LABIS, 26 Jan - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengedarkan 119 kertas undi pos bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor kawasan Tenang pada Ahad ini.

Penolong Pengurus Pilihan Raya DUN Tenang, Mohd Farid Kassim berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 101 kertas undi dikeluarkan kepada petugas SPR, 17 kepada polis dan satu kertas undi kepada seorang pengundi yang berada di Hong Kong.

Petugas SPR terbabit akan mengundi di pejabat Majlis Daerah Labis manakala anggota polis di Balai Polis Labis, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Farid berkata, satu kertas undi untuk pengundi yang berada di luar negara telah diserahkan kepada pejabat pos untuk dihantar kepada pengundi tersebut.

Beliau berkata, kesemua kertas undi pos berkenaan perlu dikembalikan semula kepada SPR sebelum pukul 5 petang, Ahad ini.

PRK itu melibatkan calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azahar Ibrahim, 39, dan lawannya daripada PAS, Normala Sudirman, 38.

Ia diadakan berikutan kematian Datuk Sulaiman Taha daripada BN pada 17 Dis tahun lepas akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis.

Jumlah pengundi adalah 14,753 orang.

No comments

Powered by Blogger.