MB Selangor terima kunjungan Duta Besar Korea ke Malaysia

SHAH ALAM 11 Jan - Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim menerima kunjungan hormat rombongan perniagaan dari Korea Selatan yang diketuai Duta Besar Korea Ke Malaysia, Lee Yong-joon, semalam.

Pada pertemuan hampir sejam itu. Menteri Besar dan rombongan perniagaan itu mengadakan perbincangan termasuk peluang-peluang baru yang disediakan kerajaan Selangor kepada pelabur.

Menteri Besar memaklumkan kerajaan Selangor sedang menjalankan projek pembersihan dan pemuliharaan Sungai Klang yang menjadi antara projek yang dimasukkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor.

Menteri Besar juga berkata, kerajaan Selangor menggalakkan dan mengalu-alukan pelaburan bidang teknologi hijau yang semakin popular di seluruh dunia. Ia juga sejajar dengan komitmen kerajaan negeri mengurangkan pencemaran alam sekitar kerana teknologi LED lebih mesra alam sekitar.

Beliau berkata, Pusat Pelaburan terbaru, Selangor Science Park 2 yang dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Cyberjaya menyediakan tapak untuk pembinaan kira-kira 10,000 unit rumah yang mesra teknologi hijau.

Katanya, sebagai tanda sokongan kepada penggunaan teknologi hijau, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) yang menjadi pusat pentadbiran kerajaan Selangor akan bertukar kepada penggunaan lampu jimat tenaga dan mesra alam secara berperingkat, mulai tahun ini.

Sementara itu, Presiden Samsung Malaysia, Datuk Lee Sang Bai berkata, beberapa syarikat Korea Selatan telah menyatakan minat bekerjasama dengan Kerajaan Selangor menjalankan projek pembersihan dan pemuliharaan Sungai Klang.

Beliau berkata, syarikat-syarikat berkenaan mempunyai pengalaman dan kepakaran kerana pernah terlibat dalam projek pembersihan Sungai Cheonggyecheon yang kini menjadi daya tarikan ramai dan dijadikan model pembangunan yang paling efektif kepada bandar raya utama di seluruh dunia.

Lee yang juga Presiden Dewan Perdagangan Korea-Malaysia turut mengakui Selangor lebih kompetitif dan mesra pelabur berbanding negeri lain kerana dilengkapi jaringan pengangkutan moden, kemudahan infrastruktur yang canggih serta tenaga kerja mahir yang ramai.

Rombongan perniagaan Korea Selatan itu memberi komitmen untuk menyokong usaha kerajaan Selangor dalam menarik lebih ramai pelabur dari negara itu atau menambah pelaburan yang ada.

Kunjungan hormat rombongan perniagaan Korea Selatan itu turut disertai Pengarah Urusan Samsung Electronic Malaysia, Kim Doh Hyung, Pengurus Besar Samsung Malaysia, Roh Jae Yoel, Pengarah Urusan Posco Malaysia, Kim Ji Yong, Pengarah Woori Bank, Park Kyung Hun dan Pengurus Besar Agensi Promosi Perdagangan dan Pelaburan Korea Selatan, Lee John Ho.

No comments

Powered by Blogger.