MB Umum Bantuan Untuk Masyarakat India

BATU CAVES, 19 Jan – Perayaan Thaipusam tahun ini membawa berita gembira kepada Jawatankuasa Kuil Sri Mariammann, Batu Caves apabila menerima kunjungan Menteri Besar, Exco Negeri serta Ahli Parlimen Pakatan Rakyat Negeri Selangor yang akan membantu meningkatkan infrastruktur dan kemudahan di kuil tersebut.

Tan Sri Khalid Ibrahim mengiktiraf tarikan Batu Caves dan akan mengadakan perbincangan dua hala dengan Jawatankuasa Kuil yang diketuai oleh Datuk R Nadarajah bagi memastikan Batu Caves terus menjadi tumpuan pelancong dan penganut agama Hindu dari seluruh dunia.

“Selepas Tahun Baru Cina, saya akan menjemput Datuk Nadarajah bersama jawatankuasa dan saya akan bawa bersama pemimpin dari Selayang, Pihak Berkuasa Selayang dan ahli Exco negeri untuk kita adakan perbincangan dua hala. Saya anggap peranan yang dimainkan Pengerusi dan Jawatankuasa Sri Mariamman ini penting bukan saja untuk negeri Selangor tapi juga untuk negara Malaysia,” katanya.

Beliau berucap di hadapan puluhan ribu penganut agama Hindu dan pelancong dari dalam dan luar negara yang turut serta meraikan dan merasai sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves ini.

Turut bersama Menteri Besar ialah Exco Selangor, Ronnie Liu dan Dr Xavier Jeyakumar, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, Ahli Parlimen Gombak Azmin ALi, Ahli Parlimen Kapar S. Manikavasagam, Ahli Parlimen Selayang William Leong serta Naib Presiden PKR, N. Surendren

Sambutan tahun ini tidak kurang meriahnya dan menunjukkan betapa masyarakat Hindu bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing dan hidup makmur bersama rakyat Selangor yang lain.

Menteri Besar Selangor itu turut menyeru agar rakyat Selangor dapat terus menunjukkan persefahaman dan kehidupan yang harmoni ini.

Menurut Khalid, Kerajaan Pakatan Rakyat telah melakukan pelbagai program bagi menjamin kebebasan dan keselesaan beribadat bagi penganut Hindu.

Sebagai contoh, Khalid menerangkan, Jawatankuasa Rumah Ibadat Selangor di bawah Dr Xavier Jeyakumar telah meluluskan 103 permohonan rumah ibadat, dan 56 daripadanya ialah kuil-kuil hindu.

“Kerajaan Negeri Selangor memang prihatin dan bersikap adil memberi bantuan kepada rakyat berbilang kaum dan agama. Kita membantu membangunkan kuil di negeri Selangor. Tahun 2010 sahaja, kita dah belanja RM 3 juta untuk pembaikan rumah-rumah ibadat. Kebanyakan peruntukan itu diperuntukkan untuk pembaikan dan pembinaan kuil-kuil Hindu,” jelasnya.

Kemuncak acara semalam, Kerajaan Selangor juga menghulurkan bantuan sebanyak RM300 ribu kepada Kuil Sri Mariamman, RM 470 ribu kepada pembangunan tadika India di kawasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya bantuan RM 3 juta bagi pembaikan dan menaik taraf Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Midlands Seksyen 7 Shah Alam yang sebelum ini terbengkalai.

Khalid mengucapkan terima kasih kepada masyarakat India kerana memilih Pakatan Rakyat untuk menerajui pemerintahan Negeri Selangor pada Pilihan Raya Umum lalu.

No comments

Powered by Blogger.