Terkini! ADUN BN Merlimau meninggal dunia

Oleh Shazwan Mustafa Kamal


KUALA LUMPUR, 20 Jan — ADUN Merlimau Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan meninggal dunia malam ini, membuka laluan kepada pilihan raya kecil yang ke-15.

Allahyarham meninggal dunia kira-kira 8 malam tadi.

Mohamad Hidhir yang juga Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pembangunan Desa dan Pertanian negeri Melaka meninggal dunia di Hospital Pakar Putra, Melaka pada pukul 8.10 malam ini kerana serangan jantung.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif hospital itu Radhuana Salleh.

Laporan Bernama petang tadi menyebut, Mohamad Hidhir, 54, mengalami serangan jantung sebanyak tiga kali dalam tempoh lima hari yang menyebabkan beliau kritikal dan berada dalam keadaan koma.

Doktor berkata beliau bernafas menggunakan alat sokongan mesin.

“Beliau menghadapi serangan jantung yang pertama pada Sabtu lepas pada kira-kira pukul 2 petang dan mengalami serangan jantung kedua pada waktu tengah hari, Isnin lepas,” katanya kepada pemberita pada satu sidang akhbar di Hospital Putra petang tadi.

Wakil rakyat itu mengalami serangan jantung yang ketiga semalam kira-kira pukul 6.45 pagi.

Katanya, ADUN itu datang mendapatkan rawatan di hospital itu Khamis lepas pada 1.30 tengah hari setelah mengadu mengalami ketidakselesaan perut dan dimasukkan ke wad kira-kira 30 minit selepas itu.

Radhuana berkata setelah pemeriksaan rapi dijalankan Mohamad Hidhir didapati mengalami masalah arteri yang tersumbat dan dimasukkan ke ICU pada pukul 2.45 petang hari yang sama.

“Setelah menjalani rawatan di ICU dan keadaan beliau stabil, kita benarkan beliau ke wad biasa keesokannya kira-kira pukul 6.30 petang,” katanya.

Beliau berkata mungkin kerana melayan terlalu ramai tetamu yang hadir melawat beliau di hospital itu keadaan Mohamad Hidhir menjadi tidak stabil dan terpaksa dimasukkan semula ke ICU pada Sabtu kira-kira pukul 2 pagi.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata hospital itu mempunyai fasiliti yang lengkap untuk merawat Mohamad Hidhir dan tidak perlu dipindahkan kemana-mana pusat pakar yang lain untuk rawatan lanjut.

“Kita ada tiga orang doktor yang memantau perkembangannya,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.