Ng Suee Lim: Saman Khir didengar 19 September

SHAH ALAM, 25 Jan - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan tiga hari mulai 19 September untuk mendengar perbicaraan kes saman fitnah bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Sekinchan, Ng Suee Lim.

Penolong Kanan Pendaftar Syajaratudur Abd Rahman menetapkan tarikh itu dalam kamar dan kes itu akan didengar di hadapan Hakim Dr Badariah Sahamid.

Dr Mohamad Khir, dalam samannya yang difailkan pada Januari tahun lepas, mendakwa Ng cuba mencemarkan imejnya menerusi satu kenyataan, termasuk dalam media, berhubung pemilikan sebuah banglo.

Ng, dalam kenyataan pembelaannya, mendakwa beliau mempunyai justifikasi bersyarat untuk mendedahkan sebarang penyalahgunaan kuasa oleh bekas Menteri Besar itu.

Beliau menafikan bahawa kenyataan itu adalah fitnah, sama ada daripada segi fakta atau undang-undang.

Ng juga berkata, kenyataan itu adalah ulasan adil yang dibuat demi kepentingan awam dan benar daripada segi fakta serta kandungan.

Pada 6 Julai 2009, Adun daripada DAP itu mendakwa Dr Mohamad Khir membelanjakan kira-kira RM24 juta untuk membeli sebuah banglo di Seksyen 7 disini sedangkan pendapatan beliau dianggarkan hanya RM576,000 setahun, atau sejumlah RM4.6 juta dalam tempoh lapan tahun beliau menyandang jawatan.

Dr Mohamad Khir menafikan dakwaan itu dan berkata banglo itu berharga hanya RM3.5 juta dan dibeli menggunakan pinjaman bank selama 30 tahun.

No comments

Powered by Blogger.