Pakatan jaga rakyat tanpa mengira bangsa

Harakahdaily

LABIS, 25 Jan: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, hanya Pakatan Rakyat sahaja yang benar-benar menolong dan menjaga kepentingan rakyat.

“Pakatan Rakyat nak tolong dan jaga semua rakyat kerana Pakatan Rakyat berjiwa rakyat.

“Kita (dalam Pakatan Rakyat) Melayu boleh tolong Cina, Cina boleh tolong India, India boleh tolong Melayu, bukan Melayu tolong Melayu, Cina tolong Cina dan India tolong India,” ujarnya pada Majlis Mesra Rakyat di pekan ini, petang tadi.

Ini, katanya berbeza dengan BN dan parti komponennya seperti Umno, MCA dan MIC yang tidak membela kaum masing-masing.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP menambah, Umno sendiri terbukti gagal membela dan menjaga kepentingan kaum Melayu.

Menurutnya, begitu juga dengan MCA dan MIC yang tidak menolong bangsa sendiri sebaliknya mengutamakan pemimpin masing-masing.

Justeru, beliau mengingatkan para pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Tenang supaya mengundi calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat, Cikgu Mala pada 30 Januari lalu.

Berucap pada majlis itu, Cikgu Mala berharap pengundi dapat memberikan sokongan kepadanya untuk membawa suara rakyat dalam Dun Johor.

Para hadirin yang terdiri daripada kalangan masyarakat Tionghua pada program tersebut sepakat menyatakan sokongan kepada Cikgu Mala.

No comments

Powered by Blogger.