Pelancong ke ‘Little India ditawar pemandu pelancong percuma

KUALA LUMPUR, 8 Jan – Pelancong ke ‘Little India’ di Brickfields di sini akan diberi lawatan berpandu secara percuma di bawah program ‘Free Walking Tour of Little India’ mulai 15 Jan ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail, berkata di bawah program itu, seorang pemandu pelancong akan mengendalikan 20 pelancong dalam satu kumpulan.

Katanya kumpulan pelancong itu akan dibawa berjalan ke pelbagai kedai menjual rempah ratus, kain, makanan aromatik, pelbagai manisan tradisional yang menampilkan kekayaan warisan dan kebudayaan di kawasan itu.

“Kami mahu pelancong mendapat pengalaman melihat corak kehidupan pelbagai masyarakat yang hidup secara harmoni di ‘Little India’,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan risalah mengenai tempat-tempat menarik di kawasan tersebut di sini hari ini.

Ahmad Fuad berkata khidmat lawatan berpandu secara percuma itu akan mengambil masa selama tiga jam dan dikendalikan dalam bahasa Inggeris pada setiap Sabtu minggu pertama dan ketiga.

Memetik laporan Bernama, katanya program seperti itu akan diperluaskan ke kawasan lain seperti Kampung Baru dan Petaling Street.

No comments

Powered by Blogger.