Pinda Perlembagaan: 24 Januari DUN Selangor bersidang

SHAH ALAM 11 Jan - Dewan Negeri Selangor (DNS) akan bersidang pada 24 Januari ini untuk meminda undang-undang Tubuh Negeri Selangor.

Dalam kenyataan pejabat speaker DNS Selangor hari ini, Datuk Teng Chang Khim telah mengarahkan setiausaha DNS supaya memaklumkan perkara itu kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor.

Sidang tersebut diadakan mengikut Peraturan 10(3) Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor.

Menurut kenyataan itu, speaker memanggil mesyuarat tersebut selepas berpuas hati dengan alasan yang dikemukakan oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, bahawa kepentingan awam berkehendakan mesyuarat tersebut diadakan lebih awal dari pada tarikh DNS ditangguhkan.

“Urusan perkara mesyuarat dan kertas-kertas mesyuarat berkenaan akan diedarkan kepada ahli dewan kemudian selepas ia ditetapkan oleh Menteri Besar,” tambah kenyataan itu.

Semalam, Khalid dilaporkan berkata, kerajaan negeri sudah melantik pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Datuk Abdul Aziz Bari, dan peguam Datuk Param Cumaraswamy, bagi menyediakan draf pindaan Seksyen 52 Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.

Ia membabitkan cadangan untuk meminda perlembagaan negeri bagi mengembalikan kepada negeri dan sultan, kuasa melantik setiausaha kerajaan negeri, pegawai kewangan dan penasihat undang-undang.

No comments

Powered by Blogger.