Poh Kong jangka harga emas meningkat ke US$1,500 tahun ini

KUALA LUMPUR, 6 Jan – Poh Kong Holdings Bhd menjangka harga emas tahun ini akan meningkat kepada US$1,500 daripada US$1,400 sekarang, kata pengerusi eksekutif/pengarah urusan kumpulan, Datuk Eddie Choon.

Choon berkata, peningkatan harga yang dijangka, didorong oleh peningkatan permintaan akan akan memberi kesan positif kepada perolehan dan keuntungan kumpulan tahun ini.

“Kami optimis akan mencatatkan pertumbuhan positif and memberi prestasi yang bagus tahun ini,” katanya selepas mesyuarat agung tahunan syarikat hari ini.

Beliau berkata, promosi ulang tahun ke-35, daripada Disember 2010 hingga 31 Ogos tahun ini, akan juga membantu meningkatkan perolehan.

Keuntungan sebelum cukai Poh Kong bagi suku pertama berakhir 31 Okt 2010 meningkat kepada RM15.191 juta daripada RM13.737 juta pada suku yang sama 2009.

Perolehannya meningkat kepada RM169.451 juta daripada RM152.392 juta sebelum ini.

Choon berkata, kumpulan itu bercadang membuka tiga lagi kedai di Semenanjung Malaysia tahun ini, dengan anggaran pelaburan sebanyak RM3 juta setiap satu.

“Kami telah mengenal pasti Nilai sebagai salah satu lokasi. Ia dijangka siap menjelang suku pertama tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan itu akan menggunakan dana dalaman untuk membuka kedai-kedai baharu itu.

Sebelum itu, pemegang saham meluluskan cadangan untuk membayar dividen pelepasan cukai single tier sebanyak 1.40 sen untuk tahun kewangan berakhir 31 Julai 2010.

-Bernama

No comments

Powered by Blogger.