Tiada unsur jenayah kematian lelaki di tebing Sungai Klang semalam

KUALA LUMPUR, 6 Jan - Polis mengesahkan tiada unsur jenayah berhubung kematian seorang lelaki yang mayatnya ditemui dengan kesan luka di perut di tebing Sungai Klang berhampiran Projek Perumahan Rakyat Kampung Limau, di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Supt Azri Abd Rahman berkata, lelaki yang berasal dari Sabah dalam lingkungan 20-an itu sebaliknya mati akibat lemas selepas terjatuh ke dalam sungai tersebut.

“Hasil bedah siasat mendapati lelaki itu mati akibat lemas. Kesan luka di perutnya adalah bekas pembedahan, jadi kita sahkan tiada sebarang unsur jenayah terhadap kematian lelaki itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun identiti sebenar mangsa masih belum diperoleh, sama ada mayat itu adalah Zulkifli atau Azmi Bulat, walaupun anggota keluarganya telah datang membuat pengecaman.

Petang semalam, mayat yang telah reput dan berulat itu ditemui bersamanya empat buku bank dalam poket seluarnya oleh orang awam yang sedang memancing di sungai itu kira-kira pukul 1.30 petang.

Difahamkan, dua buku akaun bank itu kepunyaan lelaki bernama Zulkifli Bulat dan dua lagi milik Azmi Bulat.

Beliau berkata, berdasarkan keadaan mayat yang reput dan berbau busuk itu, lelaki berkenaan dipercayai mati antara tiga hingga lima hari lepas.

-Bernama

No comments

Powered by Blogger.