Tenang: Soi Lek nafi MCA protes calon pilihan BN

LABIS, 20 Jan – MCA menolak dakwaan kononnya ia tidak bersetuju dengan pemilihan Mohd Azahar Ibrahim sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Tenang bulan ini.

Presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini berkata sejajar dengan semangat BN, parti itu menerima apa saja keputusan yang dibuat.

“Kami menghormati pilihan Umno. Apabila kami (MCA) buat keputusan, Umno dan parti komponen BN lain juga menerimanya. Itulah caranya untuk kami pastikan BN sentiasa kuat dan bekerja sebagai satu pasukan. Kami tidak berbalah secara terbuka tentang pemilihan calon,” katanya kepada pemberita selepas melawat sebuah kuil Buddha Siam di Jalan Guan Peng di sini.

Dr Chua berkata BN membuat pilihan tepat kerana sebagai bekas penolong pegawai daerah, Azhar berpengalaman dalam bidang pentadbiran dan ini merupakan suatu kelebihan kerana ada pelbagai isu tempatan yang perlu diberi perhatian.

“Di samping itu, beliau juga masih muda dan penuh bertenaga serta diterima baik oleh masyarakat Melayu dan kami harap pengundi Cina akan memberi sokongan kepadanya,” kata Dr Chua.

Beliau akan ditentang bekas guru, Normala Sudirman, ketua Muslimat PAS Labis pada pilihan raya kecil itu yang diadakan berikutan kematian penyandang kerusi berkenaan daripada BN Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember tahun lepas.

Penamaan calon ialah pada 22 Januari.

Mengulas dakwaan bahawa Azahar tidak begitu dikenali pengundi Cina, Dr Chua berkata calon PAS juga begitu.

Kata beliau MCA sudah bersiap sedia untuk berdepan dengan isu yang beliau yakin akan ditimbulkan pembangkang seperti penghakiman terbuka Mahkamah Koroner tentang kematian Teoh Beng Hock, pembantu politik kepada seorang anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor.

“Isu Teoh Beng Hock telah dimainkan pada pilihan raya kecil lepas. Sebab itulah saya kata ia telah dipolitikkan. Saya akan terkejut besar kalau mereka tidak mainkan isu itu,” katanya. – Bernama

No comments

Powered by Blogger.