Umno arah wakil rakyatnya hadir sidang khas DUN Selangor

Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani


SHAH ALAM, 20 Jan – Umno Selangor memutuskan untuk menghadiri sidang khas Dewan Undangan Negeri Isnin ini, yang akan membahaskan pindaan perlembagaan negeri berhubung urusan pelantikan tiga pegawai tertinggi perkhidmatan awam negeri.

Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata, partinya telah mengarahkan wakil rakyatnya agar menghadiri sidang kali ini memandangkan Sultan Selangor telah pun memberi perkenan baginda bagi membolehkan pertemuan minggu depan diadakan.

Umno mengadakan mesyuarat di sini hari ini.

Bagaimanapun kata Noh, perkenan itu tidak harus dianggap Sultan Selangor bersetuju agar perlembagaan negeri dipinda.

Noh mendakwa Ketua Setiausaha Negara sentiasa mendapatkan perkenan diraja sebelum memutuskan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang kini menjadi kemelut sehingga mencetuskan krisis perlembagaan.

Noh juga berkata, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim tidak menghormati Sultan dengan menolak perkenan pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.

Pakatan Rakyat yang mempunyai 35 anggota dalam Dewan Undangan Negeri yang menawarkan 56 kerusi memerlukan tiga undi untuk mendapatkan sokongan dua pertiga bagi meluluskan pindaan perlembagaan negeri.

Semalam, Noh berkata, kesemua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) akan menghadiri sidang khas Dewan Undangan Negeri Selangor Isnin ini.

“Kesemua Adun BN juga akan menyertai perbahasan,” kata beliau.

Bagaimanapun sama ada mereka akan bersetuju kepada Artikel 52 ataupun sebaliknya ia bergantung pada keupayaan kerajaan negeri untuk meyakinkan wakil-wakil BN, kata Noh semalam.

Sebelum ini, Umno berkata kesemua ADUN BN akan bertindak memboikot sidang khas Dewan Undangan Negeri tersebut kerana menggangap pindaan itu sebenarnya bertujuan mengembalikan kuasa Menteri Besar dan bukannya kuasa sultan dalam membuat pelantikan tiga pegawai kanan perkhidmatan awam negeri.

Ekoran itu Pakatan Rakyat mencabar wakil rakyat BN agar menyertai sidang khas kali ini jika benar mereka menghormati Sultan Selangor dan institusi diraja.

Semalam, Khalid mengumumkan kandungan pindaan perlembagaan negeri yang disyorkan - berkaitan kuasa dan proses pelantikan tiga pegawai tertinggi perkhidmatan negeri, yang akan dibahaskan pada sidang khas Dewan Undangan Negeri kali ini.

Syor pindaan itu telah dipersembahkan kepada Sultan Selangor Sultan pagi semalam dan menerima perkenan baginda.

Menteri Besar berkata pindaan itu membolehkan kuasa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri kembali ke kedudukan asal peruntukan sebelum ia dipinda pada 1993.

“Pindaan yang kita akan cadangkan ialah Perkara 52 di Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dengan menggantikan Fasal (1) dengan Fasal Duli Yang Maha Mulia hendaklah atas cadangan Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan dengan suratcara di bawah Tandatangan Baginda dan Mohor Kerajaan melantik seorang yang memegang jawatan sepenuh masa di dalam perkhidmatan awam masing-masingnya untuk menjadi Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

“Dengan syarat sebelum bertindak di atas cadangan Suruhanjaya Perhidmatan yang berkenaan, Duli Yang Maha Mulia hendaklah mempertimbangkan nasihat Menteri Besar dan boleh sekali merujuk balik cadangan tersebut kepada Suruhanjaya Perkhidmatan supaya ia boleh dipertimbangkan semula.”

No comments

Powered by Blogger.