Tiada rotan akar berguna - Satim pun Satimlah!

Dato Satim Diman, itulah nama yang telah diangkat menjadi Ketua Pembangkang diDewan Undangan Negeri Selangor menggantikan Mohd Khir Toyo yang telah melepaskan jawatan itu. Satim juga dikatakan adalah orang yang akan menjadi Menteri Besar Selangor jika BN dapat mengembalikan kuasa mentadbir Negeri Selangor dalam PRU yang akan datang.

Saya tidak mengenali Satim ini, tetapi pernah mendengar namanya dan setakat ini belum pernah ada kesempatan untuk saya bercakap dengan beliau untuk memahami beliau secara peribadi. Jika benar Satim adalah orang yang akan menjadi MB Selangor jika BN kembali berkuasa tentulah pemilihan beliau itu telah diselidik, dikaji dan diteliti oleh pimpinan tertinggi kita tentang kewajaran memilih beliau sebagai calun Menteri Besar jika BN memenangi pilihanraya umum nanti.

Selangor merupakan negeri yang terkaya dalam Persekutuan kita ini maka untuk mentadbir negeri kaya ini ianya memerlukan pemimpin yang kaya dengan sifat jujur, amanah dan ‘wisdom’ kepimpinan yang tinggi. Kita mesti ingat yang salah satu sebab kenapa Selangor tersungkur didalam pilihanraya dahulu ialah kerana bukti-bukti jelas yang kerajaan pimpinan UMNO sebelum 2008 dahulu adalah kerajaan yang tidak bersih dan kita sudah pun mendengar dan melihat buktinya.

Dulu untuk meninggalkan dan membelakangkan UMNO ini amat susah; ibarat memisahkan kulit dengan daging. Tetapi sekarang cemuhan terhadap UMNO oleh orang ramai sudah menjadi perkara biasa dan tindakan keluar dari UMNO ini sudah menjadi lazim. Contohnya didalam PRU 12 yang lalu lebih kurang 1.4 juta ahli UMNO meninggalkan UMNO dengan mengundi PR didalam peti undi. Apabila seseorang ahli mengundi dan menyokong parti lain ia bermakna mereka telah meninggalkan UMNO.

Itulah sebabnya menamakan Satim Diman untuk dijadikan MB Selangor jika BN menang mestilah benar-benar pilihan yang betul dan diterima rakyat. Jika Satim adalah nama yang baik bagaimana pula calun-calun yang lain? Kita mesti terima hakikat barisan yang ada didalam UMNO Selangor ini adalah barisan yang amat dicurigai oleh rakyat setiap bangsa. Sesungguhnya dalam UMNO Selangor seperti juga dinegeri-negeri lain tidak ada lagi pemimpin yang boleh diyakini untuk menggantikan pimpinan negeri yang sudah menjadi ‘spent force’ itu.

Saya lebih cenderung untuk mengatakan yang Satim bukanlah calun yang terbaik kerana beliau belum terbukti sebagai ‘leader with distinction’. Tetapi dia sahajalah yang UMNO boleh ketengahkan diSDelangor setakat ini. Kata seorang kawan dari Petaling Jaya kepada saya, “Tiada rotan akar pun berguna. Satim pun Satimlah!”. Begitulah keadaan UMNO diSelangor…tiada pemimpin yang benar-benar mempunyai pemimpin yang berwibawa.

Apa pun yang nak dikatakan oleh siapa pun tentang PR, mereka telah pun memerintah Selangor dan asimilasi PR telah mula berakar umbi diSelangor. Jika dahulu BN yang telah memerintah berdekad-dekad lamanya dinegeri ini boleh ditumbangkan oleh mereka, untuk mengekalkan pimpinan mereka adalah agak mudah.

Kehadziran mereka telah sampai kestruktor pentadbiran kerajaan yang terendah, iaitu penguasaan mereka diperingkat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampong (JKKK) dimana sebahagian besar rakyat ditadbir. Jika kerajaan negeri PR diSelangor ini menggunakan JKKK ini dengan berkesan maka peluang BN untuk mendekati rakyat secara fisikal adalah amat sukar dan terbatas.

Jika Satim dipilih untuk mengetuai BN dalam melakukan tugas berat ini, satu persoalan penting yang perlukan jawapan ialah samada Satim boleh memberikan impak yang berkesan dari pengundi-pengundi kaum-kaum yang lain. MCA bukan lagi seperti MCA yang dulu. MCA terbukti tidak mampu bertahan dengan perkembangan pengaruh DAP yang kian hari kian besar dikalangan pengundi kaum Cina. Tidak keterlaluan jika orang ramai mempunyai pendapat yang 80 peratus dari kaum Cina adalah penyokong DAP.

Kalau dulu media perdana berjaya memomokkan DAP dimata orang Melayu, sekarang ini ramai orang Melayu telah memberikan keyakinan terhadap DAP jauh lebih besar dari MCA. Media perdana pula sudah kurang diyakini oleh orang ramai kerana rakyat telah mempunyai persepsi yang begitu rendah terhadap media perdana sekarang ini kerana rakyat sudah mempunyai persepsi yang media perdana adalah alat propaganda UMNO semata-mata.

MCA tidak dapat bertindak untuk mendapatkan sokongan kaum Cina kerana kaum itu menganggap yang MCA adalah semata-mata ‘stooge’ kepada UMNO malahan didalam pilihanraya yang lalu MCA telah dengan terang-terang menuduh UMNOlah yang menyebabkan sokongan kaum Cina berkurangan terhadap MCA bagi membawa kemenangan yang lebih besar kepada BN.

Kewujudan PERKASA pula dianggap sebagai duri dalam daging oleh kaum Cina kerana ‘political NGO’ ini dituduh memainkan isu-isu perkauman yang menebal dan ramai diantara ahli-ahlinya adalah juga ahli-ahli UMNO. PERKASA dilihat oleh kaum bukan Melayu sebagai perisai kepada UMNO dan salah satu cabang kepada UMNO untuk memainkan isu perkauman luar dari UMNO. Justru itu kaum Cina tidak lagi segan dan silu untuk berlindung dibelakang DAP yang juga lebih diyakini oleh orang Melayu daripada MCA.

Semua komplikasi yang dihadapi oleh politik seperti ini terutamanya diLembah Kelang akan memberikan banyak halangan bagi Satim untuk menjadi ketua yang berkesan bagi membawa Selangor kembali ketangan UMNO dan BN. Satim masih lagi belum mempunyai kredibiliti yang secukupnya untuk menentang arus perubahan yang sedang berlaku dalam politik dan siasah negara.

Dalam pada itu kita tidak boleh hendak menolak Satim kerana bak kata kawan saya tadi, “Tak tak ada rotan, akar pun berguna. Satim pun Satimlah! Apa nak buat?”

Kalau itu keadaannya saudara buatlah kira-kira sendiri; Mampukah UMNO kembali keSelangor sebagai pemerintah? Tentu saudara tahu jawapannya. Tidak perlu bersusah payah untuk memberikan jawapannya.

http://aspanaliasnet.blogspot.com/2011/01/tiada-rotan-akar-berguna-satim-pun.html

No comments

Powered by Blogger.