Tony Pua : Projek Pelabuhan Tuna terus terbengkalai

SHAH ALAM 12 Jan - Tidak ada pembangunan dijalankan di Pelabuhan Antarabangsa Tuna Malaysia melibatkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bernilai RM243.38 juta, kata Tony Pua.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara menyifatkan ia sebagai skandal terbaru PKFZ ‘dalam pembikinan’ .

Dalam sesi lawatan bersama ahli Jawatan Kuasa Kira-Kira Parlimen ke pelabuhan yang terletak di Batu Maung Pulau Pinang hari ini, beliau berkata tidak ada apa-apa pembangunan dalam fasa ketiga yang bernilai RM200 juta.

Beliau dalam tinjauannya berkata apa yang ada hanyalah dua bangunan kecil kepunyaan Malaysian International Tuna Port Sdn Bhd (MITP) daripada perjanjian konsesi seluas 20 hektar bagi membina pelabuhan Tuna yang dikatakan bertaraf antarabangsa.

“Cuma yang ada, hanyalah dua bangunan asal milik LKIM yang diserahkan kepada MITP dibawah perjanjian konsesi selama 32 tahun dengan Pelabuhan Tuna itu,” kata Tony Pua dalam ‘twitter’nya.

Ujarnya lagi, projek yang dianugerahkan ketika Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Menteri Pertanian ketika itu, kini hanya tinggal sebuah sahaja syarikat yang beroperasi menangkap ikan tuna selepas diswastakan kepada MITP.

Pada 2 November lalu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dalam sidang media di lobi parlimen mendedahkan kerajaan bakal menanggung kerugian RM83.45 juta dan tanah seluas 20 ekar.

Ia merujuk kepada projek usahasama LKIM dengan Bindforce Sdn Bhd, bagi menubuhkan MITP yang bernilai RM243.38 juta.

Beliau yang merujuk kepada laporan Ketua Audit Negara menjelaskan projek yang dikatakan projek usahasama swasta, tetapi kerajaan pula terpaksa menanggung kerugian akibat ‘letter of undertaking.

Bindforce memegang ekuiti 60 peratus bernilai RM29.05 juta manakala LKIM memegang 40 peratus dengan nilai RM11.62 juta.

Ia akan dibangunkan atas tanah seluas 20 ekar yang diberi sewa oleh LKIM dengan perjanjian konsesi swasta secara Bina Operasi Pindah (BOT) selama 30 tahun yang dibuat pada 16 September 2004.

Kos pembinaan dibiayai oleh MITP melalui pinjaman RM240 juta dalam bentuk bon dari OSK Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) pula didakwa mengeluarkan surat sokongan kepada OSK Trustee Berhad pada 15 September.

OSK Trustee pada 6 Januari 2010 kemudiannya didakwa mengisytiharkan ‘event of default’ terhadap MITP.

LKIM sebelum itu mengeluarkan ‘Letter of Undertaking’ menyatakan perjanjian akan dikuatkuasa jika terdapat ‘event of default(boleh tarik diri tanpa bayar ganti rugi) di pihak MITP.

Sehubungan itu, OSK juga turut menuntut sejumlah RM208.62 juta termasuk faedah.

Dengan milikan 40 peratus ekuiti, kerajaan terpaksa menanggung RM83.45 juta dari tuntutan OSK tersebut.

“Tanggungan pinjaman bon RM83.45 juta, surat sokongan merupakan liabiliti kepada kerajaan pusat, dan tanah 20 ekar LKIM tidak dapat dituntut semula kerana dicagar MITP dan kini MITP tidak aktif,” katanya.

Tindakan tersebut juga jelasnya menjadi bajet kerajaan menjadi tidak seimbang dan dalam masa sama melebarkan lagi defisit fizikal negara.

No comments

Powered by Blogger.