TV3 pertahan bincang topik payu dara

KUALA LUMPUR - Stesen televisyen TV3 mempertahankan rasional program terbitannya, Wanita Hari Ini (WHI) menyiarkan perbincangan mengenai topik payu dara kelmarin. Alasan yang diberikan adalah perbincangan secara terbuka itu sesuai dengan peredaran masa.

Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar berkata, pihak TV3 tidak mempunyai niat lain selain menggalakkan diskusi terbuka dan berkongsi pengalaman berhubung topik tersebut.

"Isu itu ada unsur pengajaran ataupun input tambahan yang bersesuaian dengan peredaran masa seperti topik yang dibincangkan dalam WHI tersebut," katanya dalam satu kenyataan kepada Kosmo! semalam.

Kosmo! dalam laporan muka depan semalam melaporkan segmen bual bicara WHI itu mencetuskan rasa kurang senang penonton kerana ia secara terbuka membincangkan isu pembedahan membesarkan payu dara.

Siaran itu mengundang teguran pelbagai pihak termasuk tokoh-tokoh agama yang berpendirian topik itu tidak sesuai dibincangkan secara terbuka kerana ia adalah rahsia wanita.

Ada pula yang berpendapat ketiadaan pakar agama yang dijemput bagi mengulas isu tersebut menjadikan program itu seakan-akan tidak sesuai dengan budaya masyarakat Islam.

Ahmad Izham menjelaskan, ahli-ahli panel jemputan turut membicarakan impak baik dan buruk isu tersebut serta menjemput seorang doktor pakar untuk mengemukakan pendapat beliau.

"Pada masa yang sama, kami peka terhadap pandangan masyarakat di luar sana dan menghargai maklum balas penonton dan orang ramai," katanya.

No comments

Powered by Blogger.