Ucapan Perbahasan YB Mohamed Azmin Ali di Dewan Negeri Selangor pada 24 Januari 2011

1. Saya ingin menyertai perbahasan Rang Undang-Undang bernama Suatu Enakmen untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 yang dibentangkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar sebentar tadi.

2. Rang Undang-Undang ini adalah amat penting untuk:

i. Memperjelaskan sistem pemerintahan di negara ini yang berpaksikan sistem Demokrasi Berparlimen (Parliamentary Democracy) dan Raja Berperlembagaan (Constitutional Monarchy);

ii. Mengembalikan kuasa Pemerintah dan Menteri Besar dalam perlantikan di bawah Perkara 52 di dalam Bab 3 untuk menjamin wujudnya proses timbang tara (check and balance) dan kemurniaan peranan di antara institusi Raja dan Ketua Kerajaan Negeri yang dipilih oleh rakyat;

iii. Menyuntik kekuatan baru kepada sistem Persekutuan atau Federalisme;
iv. Menjamin keberkesanan perjalanan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang dipilih oleh rakyat.

3. Alhamdulillah, hari ini Dewan Negeri Selangor melakar sejarah apabila Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat membuat pembentangan bagi mengemukakan pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 khususnya pada Perkara 52 (1) berkaitan dengan perlantikan Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri. Usaha yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat adalah untuk mengembalikan prosedur untuk perlantikan ini seperti mana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Negeri yang sama yang mana peruntukan ini telah dimansuhkan dalamn tahun 1993 oleh makhluk perosak bernama UMNO.

4. Usaha ini tidaklah mudah. Pelbagai pihak yang menjadi alat dan perkakas UMNO cuba memberikan penakrifan undang-undang mengikut selera dan nafsu serakah peimimpin UMNO di Putrajaya bagi menghalang mesyuarat pada pagi ini.

5. Lihat sahaja kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Noh Omar berhubung usaha YAB Dato’ Menteri Besar untuk kembali ke Dewan yang mulia ini untuk memperbetulkan kerosakan sistem tatkala di tangan UMNO.

6. Antara lain, Noh Omar mendakwa Pakatan Rakyat sanggup melakukan apa sahaja yang bercanggah dengan undang-undang. Beliau juga membuat tuduhan jahat bahawa pindaan ini bermaksud untuk memberikan kuasa kepada YAB Dato’ Menteri Besar dan bukan memberikan kuasa kepada Tuanku Sultan.

7. Kenyataan ini timbul dari seorang watak yang buta sejarah dan jumud pemikirannya. Ini mengingatkan saya kepada puisi seorang budayawan Indonesia bernama Ehma Ainul yang berkata, “Nasib malang golongan yang bernama rakyat. Rakyat yang terlalu lama diperbodohkan tidak tahu apa itu kebodohan.”

8. Di Selangor, rakyat makin cerdas dan mendapat pencerahan. Golongan rakyat yang terlalu lama diperbodohkan adalah orang UMNO sendiri sehingga tidak tahu mereka diperbodohkan, mereka tidak tahu apa itu kebodohan.

9. UMNO mencuba untuk memperbodohkan rakyat dengan menggunakan media arus perdana milik mereka sendiri. Tetapi rakyat dibebaskan dengan pengembangan internet dan media baru. Pemimpin UMNO yang tidak menurut arus perkembangan teknologi ini, diperbodohkan akibat terlalu lama hidup dalam kepompong mereka sendiri.

10. Kita, rakyat Selangor bersyukur kerana Allah SWT telah mengurniakan seorang Raja yang berilmu, kompeten, bijaksana, adil dan menaungi rakyat Selangor. Saya sedia maklum bahawa Tuanku Sultan adalah seorang Raja yang mencintai buku. Kegemaran ini adalah cerminan kepada kecintaan Baginda terhadap tradisi ilmu dan budaya intelektual. Budaya inilah yang akan membawa Negeri Selangor lebih yakin untuk mendepani cabaran abad ke-21. Rakyat Negeri Selangor tidak akan dapat melupakan perkenan Tuanku untuk menandatangani proklamasi untuk memanggil mesyuarat pagi ini selaras dengan kuasa dan tanggungjawab Tuanku yang diperuntukkan di bawah Perkara LXX (1) dan LV (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

11. Mesyuarat pagi ini juga penting untuk anak bangsa memahami sejarah. Sejarah tidak boleh dipadamkan walaupun UMNO sering menggunakan ‘profesor kangkung’ seperti Ramlah Adam untuk memutarbelitkan sejarah. Mesyuarat hari ini akan menulis semula sejarah berdasarkan fakta dan ilmu di mana anak bangsa kita khususnya rakyat Negeri Selangor akan diingatkan bahawa UMNO yang merosakkan dan menjahanamkan institusi-institusi demokrasi termasuk sistem Raja Berperlembagaan dalam Negara Malaysia yang tercinta ini.

12. Orang Melayu tidak mudah lupa. Rakyat Malaysia juga tidak mudah lupa. Yang mudah lupa hanyalah pemimpin-pemimpin UMNO dan mereka ini sering menjadi mangsa propaganda yang mereka cipta untuk menipu rakyat. Tetapi yang tertipu bukan rakyat tetapi mereka sendiri.

13. Saya amat bimbang usaha-usaha UMNO sekarang ini yang terdesak untuk menyemarakkan politik perkauman sempit yang boleh memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk negara ini.

14. Di akhir mesyuarat pada hari ini, saya yakin rakyat akan dapat menjawab persoalan yang dilontarkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar dalam pembentangan pagi ini yang berbunyi, “Derhakakah kami jika kami mahu mengembalikan kedaulatan negeri dan Baginda Sultan yang memerintah negeri yang berdaulat ini?”

I. SISTEM DEMOKRASI BERPARLIMEN DAN RAJA BERPERLEMBAGAAN

15. Kerajaan Negeri Selangor hari ini adalah kerajaan yang dipilih oleh rakyat, kerajaan yang mendapat mandat dan amanah dari rakyat melalui proses demokrasi. Pada 8 Mac 2008 majoriti rakyat Negeri Selangor menolak parti UMNO dan Barisan Nasional yang bergelumang dengan rasuah, salah guna kuasa dan keangkuhan pemimpin.

16. Inilah demokrasi dari pandangan Dr. Yusuf Qaradhawi, seorang tokoh ulama’ yang tersohor. Dr. Yusuf Qaradhawi telah mengupas persoalan intipati demokrasi (essence of democracy) dalam bukunya berjudul Fatawa Muafirah (Contemporary Fatwa). Menurut Dr. Yusuf Qaradhawi, demokrasi adalah hak rakyat untuk memilih siapa yang harus memerintah dan mentadbirkan urusan mereka. Demokrasi juga bermakna hak rakyat untuk menolak pemerintah yang mereka tidak suka atau menolak aturan dan sistem yang mereka tidak suka.

17. Demokrasi juga membawa maksud hak rakyat untuk menilai dan melakukan muhasabah apabila seseorang pemimpin itu bersalah dan hak rakyat untuk menurunkan pemerintahan apabila pemimpin menyimpang dari prinsip. Tegas Dr Yusuf Qaradhawi, “Kalau itulah intipati demokrasi, dimanakah konflik dengan ajaran Islam?”. Dr Yusuf Qaradhawi juga membuat kiasan bersandarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa, “Seseorang Imam yang mengimami satu kelompok yang diketahui olehnya tidak disukai oleh makmum tetapi masih berdegil untuk menjadi Imam, maka, pahala solatnya tidak terangkat walaupun seinci daripada kepalanya.”

18. Apa yang cuba disampaikan ialah dalam solatpun, makmum boleh menolak seseorang Imam yang tidak disukainya apatah lagi dalam persoalan politik, pentadbiran dan pengurusan ekonomi. Demokrasi akan hanya bermakna sekiranya ada pendewasaan pemikiran rakyat dan pencerahan.

19. Prinsip Raja Berperlembagaan pula adalah penerimaan kepada nilai-nilai Syariat yang mana terkandung di dalamnya prinsip-prinsip keadilan iaitu memberikan hak kepada yang berhak. Maka, sewajarnya hak rakyat Selangor dipertahankan untuk ditadbir oleh kerajaan yang dipilih melalui sistem demokrasi ini.

20. Tanggungjawab Menteri Besar sebagai Ketua Kerajaan Negeri adalah amat penting dalam sistem demokrasi.

21. Justeru itu Pakatan Rakyat Negeri Selangor mengemukakan seorang tokoh yang berwiba, berpengalaman dan prihatin terhadap rakyat sebagai Ketua Kerajaan Negeri untuk merencana dasar-dasar kepedulian rakyat.

22. UMNO tidak senang dengan prestasi Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat yang berjaya membangunkan negeri dan merakyatkan ekonomi melalui tatakelola yang baik (good governance). Justeru itu, rakyat menyaksikan gelagat UMNO melalui siri-siri tindakan yang tidak demokratik untuk sabotaj sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Ini termasuk memperalatkan institusi-institusi kerajaan seperti SPRM, PDRM dan Mahkamah bagi menggagalkan sistem perkhidmatan dan pentadbiran Kerajaan Negeri.

23. Sehinggakan lembu korban yang disumbang kepada masjid-masjid dan surau-surau di Negeri Selangor menjelang Eidul Adha dijadikan helah untuk menyiasat dan menekan pentadbiran YAB Dato’ Menteri Besar. Hasrat mereka adalah sekiranya Dato’ Menteri Besar atau Exco Kerajaan Negeri atau mana-mana Ahli Dewan Negeri Selangor dari Pakatan Rakyat dapat didakwa dengan pelbagai tuduhan ciptaan UMNO ianya akan memberikan peluang bagi UMNO untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat ini.

24. Konspirasi jahat ini tidak terhenti di situ, hari ini UMNO menggunakan jentera pentadbiran pusat untuk mensabotaj pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor. Putrajaya ingin menganggu kelicinan dan kecekapan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan program-program rakyat yang telah dirancang oleh Kerajaan Negeri.

25. Insya Allah, cabaran terbaru ini akan kami tangani dengan sebaiknya dan bijaksana demi menjamin akar jentera pentadbiran negeri tidak terjejas dan segala program kebajikan dan kepentingan rakyat akan terus terpelihara. Kerajaan Selangor adalah kerajaan yang pro-demokrasi; dan demokrasi adalah jelmaan dari kedaulatan rakyat. Menggugat Kerajaan Negeri Selangor sekarang adalah menggugat demokrasi dan tidak menghormati hasrat rakyat. Mempertahankan Kerajaan Negeri Selangor yang dipilih oleh rakyat adalah mempertahankan dan memperkasakan demokrasi.

II. menjamin wujudnya proses timbang tara (check and balance) dan kemurniaan peranan di antara institusi Raja dan Ketua Kerajaan NEGERI yang dipilih oleh rakyat

26. Sebelum pindaan perlembagaan 1993, Perlembagaan Persekutuan mempunyai aspek ‘check and balance’ atau timbang tara di antara Eksekutif dan institusi Raja dalam perlantikan tiga jawatan utama pentadbiran negeri iaitu Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

27. Ini termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor Perkara 52 (1) yang menyatakan bahawa :

“His Highness shall on the recommendation of the appropriate Service Commission by instrument under His Sign Manual and the State Seal appoint a person holding a whole time office in the public services to be the State Secretary, the State Legal Adviser and the State Financial Officer respectively:

Provided that before acting on the recommendation of the Service Commission His Highness shall consider the advise of the Menteri Besar and may once refer the recommendation back to the Commission in order that it may be reconsidered.”

28. Setelah dipinda dalam tahun 1993, Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor dalam soal perlantikan tiga pegawai di atas berbunyi :

“There shall be constituted the offices of State Secretary, State Legal Adviser and State Financial Officer; and the appointment thereto shall be made by the appropriate Service Commission from amongst members of any of the relevant public services.”

29. Siapakah yang memansuhkan kuasa Tuanku Sultan untuk melantik tiga pegawai selepas mempertimbangkan nasihat Menteri Besar ? Pastinya; UMNO telah menderhaka kepada Raja-Raja Melayu. Sekaligus suara rakyat dinafikan kerana Menteri Besar adalah wakil suara rakyat majoriti yang membentuk kerajaan melalui proses demokrasi.

30. Kalau kita kembali kepada Penyata Rasmi (Hansard) Parlimen semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 1993 yang ditaja oleh Dr. Mahathir Mohamad, ramai pemimpin-pemimpin UMNO yang mengeluarkan kata-kata kesat dan celupar terhadap institusi Raja-Raja Melayu. Antaranya, seorang Ahli Parlimen UMNO berkata :

“Adakah Yang Berhormat hendak menuduh akhbar yang putar belit. Saya tidak. Saya hendak mengatakan raja yang putar-belit, sehari bersetuju, dua hari tidak bersetuju. Ini kenyataan yang tepat, yang jelas.”

31. Kita rujuk pula kepada kenyataan-kenyataan media dan ucapan Dr. Mahathir Mohamad sekitar tahun 1983 dan 1993, jelas membuktikan bahawa Dr. Mahathir adalah penderhaka dan UMNO adalah pengkhianat. Media yang dikuasai oleh UMNO digunakan untuk memaparkan cerita-cerita yang mengaibkan peribadi Raja-Raja Melayu bagi mewujudkan sentiment dan emosi benci rakyat terhadap institusi Raja-Raja Melayu. Berita Harian pada 19 Januari 1993 menyiarkan kenyataan seorang Ahli Parlimen UMNO dari Perak yang mengingatkan Raja-Raja supaya mengambil kira suara rakyat jika tidak Raja-Raja tidak dapat kekal lama “malah takhta mereka mungkin akan beralih ke muzium…”.

32. Krisis Perlembagaan tercetus ekoran tindakan pemimpin UMNO yang rakus untuk memansuhkan kekebalan Raja-Raja Melayu. Ramai sarjana dan pengamal undang-undang mencabar keabsahan pindaan perlembagaan 1993 kerana ianya melanggar Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut, “tiada apa-apa undang-undang yang menyentuh secara langsung keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan dengan ketiadaan persetujuan Majlis Raja-Raja”. Sebenarnya UMNO memindahkan kekebalan tersebut kepada Mamak Bendahara dan pihak Eksekutif. Saya tahu bahawa kebimbangan ini ditimbulkan oleh pihak Raja-Raja dalam tahun 1993. Saya dapat menyelami perasaan Raja-Raja Melayu yang luka. Luka yang dalam mungkin telah sembuh, tetapi parutnya tetap ada. Keprihatinan Raja-Raja Melayu disambut dengan rasa tanggungjawab oleh Ahli-Ahli Parlimen pembangkang pada ketika itu.

33. Apa yang disebutkan oleh Ketua Pembangkang, YB Encik Lim Kit Siang pada 18 Januari 1993 adalah semakin jelas hari ini :

“Semasa kita membahaskan soal kekebalan Raja-Raja, tentang bagaimana mendemokratikkan sistem Raja Berperlembagaan, untuk memastikan Raja-Raja bertanggungjawab dan Demokrasi Berparlimen, kita tidak boleh membenarkan pemimpin-pemimpin kerajaan menikmati kekebalan yang membebaskan mereka dari sebarang akauntabiliti awam sebagaimana yang dipamerkan oleh berbagai skandal yang tidak diselesaikan dalam negara ini.”

34. Dalam pembahasan yang sama, Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang turut menegaskan prinsip yang sama:

“Begitu juga kekebalan yang tersirat daripada penyalahgunaan kuasa melalui ISA, OSA, Perkara 145 (3) Perlembagaan kuasa yang diberi kepada Peguam Negara hendaklah dielakkan.”

35. Kekebalan yang dinikmati oleh pemimpin-pemimpin elit UMNO menjadikan Malaysia diperintah oleh diktator selama 23 tahun dengan mengamalkan undang-undang rimba dan menolak negara hukum. Dr. Mahathir Mohamad adalah orang yang bertanggungjawab menjadikan pihak Eksekutif terlalu kebal. Najib Razak hanya meneruskan sistem yang dibina oleh Dr. Mahathir. Justeru itu, rasuah dan salahguna kuasa semakin berleluasa dan menjadi budaya dalam pentadbiran UMNO.

36. Rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh UMNO semakin parah. RM42,320 dibayar oleh Kolej Kemahiran Tinggi Mara Balik Pulau, Pulau Pinang untuk sebuah komputer riba. 2 unit daripada jenama yang sama komputer riba berjenama Acer Aspire pada harga RM84,640. Komisyen kapal selam Scorpene dan jet pejuang Sukhoi bernilai RM1 bilion. Dengan jumlah ini kita boleh beri air percuma kepada rakyat selama 6 tahun.

37. Apabila Pakatan Rakyat menyatakan pendirian untuk mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu, ianya adalah untuk kembali kepada struktur asas Perlembagaan Negara yang berpaksikan sistem Raja Berperlembagaan seperti yang termaktub di dalam dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan Tanah Melayu tatkala Almarhum Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan.

“Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang Berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen.”

38. Hari yang keramat ini menyaksikan Pakatan Rakyat, sebuah gabungan parti-parti politik yang mewakili rakyat Malaysia pelbagai kaum mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

39. Komitmen Pakatan Rakyat ini terkandung dalam pengisytiharan yang dibuat pada 8 September 2008 oleh pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat yang antara lain menegaskan bahawa Pakatan Rakyat menjunjung prinsip Perlembagaan Persekutuan.

40. Deklarasi ini yang ditandatangani oleh YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, YB Encik Lim Kit Siang dan YB Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang membuat ketetapan bahawa pendirian Pakatan Rakyat ialah menjunjung prinsip-prinsip dasar yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan. Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan menjamin kebebasan mengamalkan agama-agama lain; kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda; kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

III. Menyuntik kekuatan baru kepada sistem Persekutuan atau Federalisme

41. Pindaan Perlembagaan 1993 juga telah disalahguna untuk menghakis prinsip Federalisme. Pindaan tersebut bukan sahaja memindahkan kuasa ke tangan Perdana Menteri, tetapi ia juga merampas kuasa yang ada pada Kerajaan Negeri menurut amalan Persekutuan atau Federalisme.

42. Pindaan yang dibuat hari ini adalah untuk memperkukuhkan Federalisme yang merupakan satu aspek penting Perlembagaan Persekutuan.

43. Dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor sebelum pindaan 1993, Tuanku Sultan dan Menteri Besar mempunyai kuasa dalam semangat rundingan untuk melantik Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri. Tatkala Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri dikuasai oleh parti yang sama, persoalan ini tidak begitu berat. Tetapi dalam suasana Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat diperintah oleh parti yang berlainan, dua suara yang punyai beda yang sangat menjolok, tindakan tidak menghormati prinsip Federalisme telah menimbulkan ketegangan; apatah lagi apabila UMNO cuba merampas Kerajaan Negeri melalui tindakan sabotaj.

44. Perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor baru baru ini merupakan pengkhianatan semangat Federalisma oleh Kerajaan Pusat melalui peranan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan. Selaku Ketua Setiausaha Negara, Sidek wajar menunjukkan teladan yang baik dengan menghormati semangat Federalisme bagi menjamin keharmonian hubungan antara Kerajaan Pusat dengan Kerajaan Negeri.

45. Malangnya, perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri oleh Sidek telah membelakangkan suara dan hak rakyat Negeri Selangor. Apabila diasak oleh rakyat Selangor, Sidek memberikan respon yang tidak bertanggungjawab dengan mengatakan bahawa beliau telah berbincang dengan Dato’ Ramli Mahmud. Mungkin Sidek terlepas pandang atau kedangkalannya sendiri untuk menghayati prinsip Federalisme di mana prinsip Demokrasi Berparlimen membawa maksud Ketua Negara adalah DYMM Yang Di-Pertuan Agong manakala Raja-Raja Melayu adalah Ketua Negeri masing-masing. Ketua Kerajaan Pusat adalah Perdana Menteri dan Ketua Kerajaan Negeri adalah YAB Dato’ Menteri Besar.

46. Siapa Ramli Mahmud? Beliau hanya merupakan seorang penjawat awam yang bertanggungjawab untuk melaksanakan dasar-dasar Kerajaan Negeri. Malangnya, diakhir talian hayat perkhidmatannya dengan Kerajaan Negeri, saya difahamkan Ramli Mahmud menjadi tali barut kepada Sidek Hassan untuk mencapai agenda politik Kerajaan Pusat.

47. Mengapa Sidek tidak menghormati YAB Dato’ Menteri Besar selaku Ketua Kerajaan Negeri yang mewakili rakyat Negeri Selangor? Atau mungkinkah Sidek rela mengorbankan profesionalismenya dan menjadi alat kepada pemimpin elit UMNO?

48. Perbincangan di Dewan yang mulia ini juga bertujuan untuk mengembalikan dan mempertahankan neutrality dan profesionalisme anggota penjawat-penjawat awam dalam menjalankan tugas mereka. Saya mahu anggota-anggota penjawat awam punyai kebebasan untuk memberikan nasihat tanpa takut dan bimbang demi membangunkan Negeri Selangor yang tercinta ini. Saya mahu anggota-anggota penjawat awam diiktiraf sumbangan mereka dan dapat menjalin hubungan kerja yang harmoni dengan Kerajaan Negeri.

IV. Menjamin keberkesanan perjalanan pentadbiran negeri Selangor yang dipilih oleh rakyat

49. Dalam tempoh tiga tahun Pakatan Rakyat memegang teraju pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor, YAB Dato’ Menteri Besar dan Pakatan Rakyat telah berusaha untuk menjamin demokrasi sebagai wahana tatakelola yang baik, ketelusan, pertanggungjawaban, merakyatkan ekonomi dan mengamalkan prinsip ‘value for money’ untuk menjana pertumbuhan ekonomi bagi memelihara kebajikan dan kemakmuran rakyat. Laporan Ketua Audit Negara engesahkan kecekapan pengurusan kewangan Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat.

50. Dasar-dasar kepedulian rakyat termasuk program air percuma dan Merakyatkan Ekonomi Selangor tidak menjejaskan kedudukan kewangan negeri; jauh sekali untuk muflis.

51. Kerajaan Pakatan Rakyat juga berjaya menyelesaikan banyak kes yang berlarutan selama berdekad di bawah pentadbiran UMNO. Peneroka-peneroka bandar di Kampung Indian Settlement, Batu Caves yang dipinggirkan hampir 50 tahun oleh wakil rakyat MIC dan Kerajaan Barisan Nasional telah mula merasai nikmat kerajaan yang prihatin pimpinan Pakatan Rakyat apabila Kerajaan Negeri meluluskan hak milik tanah untuk mereka pada Ogos 2010. Ratusan keluarga Melayu di Kampung Gombak Setia yang merintih selama lebih tiga dekad untuk mendapatkan hak mereka dipandang sepi oleh wakil rakyat UMNO. Namun, dalam tempoh yang begitu singkat, atas nama keadilan, Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat mampu menangani masalah ini dan Insya Allah, YAB Dato’ Menteri Besar sendiri akan turun ke kampung ini pada 19 Februari 2011 untuk mengumumkan keputusan Kerajaan Negeri mengembalikan hak penduduk-penduduk di Kampung Gombak Setia.

52. Kerajaan Pakatan Rakyat mengucapkan terima kasih kepada pegawai-pegawai kerajaan dan anggota-anggota penjawat awam yang memberikan kerjasama untuk melaksana dasar-dasar Pakatan Rakyat yang pro-rakyat. Kerjasama mereka amat penting sebagai pelaksana dasar-dasar yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri.

53. Mewakili Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor dari Pakatan Rakyat, saya menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan kerana sentiasa memayung kerajaan yang dipilih rakyat melalui proses demokrasi. Saya terkesan dan tidak akan dapat melupakan keprihatinan Tuanku Sultan yang berangkat mencemar duli ke lokasi tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada bulan Disember 2009 untuk melihat sendiri derita yang dialami oleh rakyat di kawasan saya ekoran tragedy tanah runtuh yang meragut empat nyawa.

54. Meskipun Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor bekerja kuat untuk menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat, namun ada pihak yang tidak senang dengan dasar-dasar dan langkah-langkah kepedulian rakyat ini. UMNO dan Barisan Nasional di Putrajaya takut dengan apa yang kita lakukan. Mereka dengan cara yang tidak demokratik dan dengan tidak menghormati prinsip Persekutuan atau Federalisme cuba melakukan sabotaj.

55. Amanah yang diberikan oleh rakyat perlu digunakan untuk memberikan khidmat terbaik untuk merakyatkan ekonomi melalui sistem tatakelola yang kukuh dan menurunkan kos kehidupan rakyat.

56. Sebagai contoh; apabila Pakatan Rakyat memperkenalkan program-program ekonomi dalam Buku Jingga dan Program 100 Hari Pakatan Rakyat; ianya telah mencetuskan gelombang baru dalam masyarakat dan menyebabkan Kerajaan Pusat berada dalam keadaan defensif.

57. Najib mendakwa Program 100 Hari Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga akan menyebabkan negara muflis. Inilah masalah Najib, bila Pakatan Rakyat hendak menolong rakyat, kita dituduh tidak bertanggungjawab dan akan memufliskan negara tetapi apabila memberi subsidi kepada kroni, negara tidak muflis. Sebenarnya Program 100 Hari hanya melibatkan kos RM19.2 bilion sedangkan kalau diambil kembali subsidi yang dianugerahkan kepada empat syarikat Penjana Kuasa Bebas (IPP) dan mengatasi masalah ketirisan, Kerajaan akan memperolehi RM51 bilion.

58. Buku Jingga memberikan tumpuan kepada isu-isu yang membebankan rakyat. Kalau kita teliti angka-angka ekonomi yang dibentangkan dalam Parlimen; 46% rakyat Malaysia yang bekerja menerima pendapatan bawah RM2,000 dan 75% dari bilangan keluarga yang pendapatan isi rumahnya di bawah RM2,000 adalah orang Melayu. Golongan ini jugalah yang dikategorikan sebagai golongan 40% paling miskin di Malaysia.

59. Ini dalam negara yang menjadikan Ketuanan Melayu sebagai dasar ekonomi tetapi orang Melayu masih menjadi pengemis di bumi sendiri.

60. Ini sekaligus mematikan propaganda pemimpin UMNO bahawa mereka adalah pejuang Melayu.

61. Ketuanan Melayu bagi mereka adalah pimpinan elit yang bersantai dalam mahligai. Inilah kumpulan yang digelar “Orang Patut-Patut” oleh Pendita Za’aba.

Dalam tahun 1917 Pendita Zaaba menulis: “orang patut-patut kita duduk bersenang-senang diri masing-masing dalam bilik mahligainya dengan nikmat sentosa dan cukup puas hati pula, datang rasa hatinya dan sampai rasa hatinya memandang anak bangsa bergelumang dengan kehinaan dan kejatuhan kepada saf-saf yang jauh dibelakang….”

62. Maka, saya menyeru agar Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk menyokong pindaan Rang Undang-Undang ini kerana ianya merupakan satu inisiatif untuk memperkukuhkan demokrasi dan sistem Federalisme serta mempertahankan suara dan hak rakyat yang terbanyak.

63. Sebagai sebuah kerajaan yang berorientasikan prinsip demokrasi dan reformasi yang dipilih oleh rakyat, Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor bertanggungjawab untuk memperbetulkan kerosakan dan kemusnahan institusi demokrasi di tangan UMNO. UMNO bukan sahaja bertanggungjawab meruntuhkan institusi demokrasi seperti badan kehakiman, institusi Parlimen tetapi juga memusnahkan Institusi Raja Berperlembagaan.

64. Saya ingin mengakhiri perbahasan pagi ini dengan mengungkapkan sebuah gurindam yang membayangkan tradisi keharmonian hubungan raja dan rakyat.

“Bendahara dan Sultan seperti sebadan,
Jangan cuba pisah-pisahkan;
Tali yang lerai kita ikatkan,
Warisan Melaka kita sambungkan.”

65. Saya memohon doa ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dikurnia kesihatan yang sempurna, dipelihara keselamatan dan kesejahteraan yang berpanjangan untuk terus memimpin Selangor Darul Ehsan dengan segala kemuliaan.

66. Saya juga berdoa agar YAB Dato’ Menteri Besar juga dilimpahi dengan rahmat Allah dan senantiasa di dalam lindunganNya untuk meneruskan khidmat sebagai Ketua Kerajaan Negeri yang adil untuk seluruh rakyat Negeri Selangor.

No comments

Powered by Blogger.