Umno Diingat Jangan Perkecil Kebijaksanaan Sultan

Dari KeadilanDaily

Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan pimpinan Umno BN agar jangan sesekali memperkecilkan kebijaksanaan Sultan dan Raja-Raja Melayu.

Menurutnya, tindakan pimpinan Umno BN memainkan isu Raja-Raja Melayu demi kepentingan politik seolah-olah memperkecilkan minda dan kebijaksanaan sultan dalam menilai sesuatu perkara.

“Raja-raja Melayu dan sultan tahu, siapa yang benar-benar membela dan berjuang mengembalikan hak dan peranan Tuanku. Tindakan pimpinan Umno BN memainkan sentimen ini dengan demonstrasi dan pelbagai kenyataan yang mengelirukan rakyat merugikan rakyat Malaysia secara keseluruhan,” katanya pada sidang media selepas berucap di Forum Subsidi : Bebankan Negara atau Bebankan Rakyat di Kelab Shah Alam, Shah Alam hari ini.

Sehubungan itu, beliau memuji tindakan kerajaan Selangor yang dipimpin Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang berusaha untuk meminda perlembagaan negeri bagi mengembalikan kuasa dan peranan sultan di negeri itu.

“Tahniah diucapkan kepada Tan Sri Khalid Ibrahim dan kerajaan negeri Selangor yang tetap berusaha mengadakan pindaan undang-undang walaupun berterusan diganggu dan dihalang oleh pimpinan Umno BN.

“Pimpinan Umno BN kononnya berjuang untuk Raja-raja Melayu tetapi merekalah yang menghilangkan kuasa raja-raja Melayu sejak 1993.

“Walaupun usaha untuk meminda undang-undang (perlembagaan negeri) itu tidak berjaya, sekurang-kurangnya ada usaha (kerajaan negeri) ke arah itu,” ujarnya.

Semalam, kerajaan Selangor tidak berjaya meminda undang-undang tubuh negeri bagi mengembalikian kuasa kepada Sultan dan menteri besar dalam pelantikan tiga jawatan tertinggi negeri.

Selepas pengundian dijalankan, hanya 34 ADUN mengundi bersetuju dengan pindaan itu manakala 20 lagi mengundi menentangnya. Kerajaan Selangor memerlukan 38 undi (sokongan 2/3) bagi membolehkan undang-undang itu diluluskan.

BN mempunyai 21 kerusi yang mana kesemuanya menolak cadangan menteri besar itu sekaligus menolak untuk mengembalikan kuasa sultan yang ‘dihadkan’ sejak 1993.

No comments

Powered by Blogger.