Undang-undang kesihatan untuk wakil rakyat

BN dan Pakatan Rakyat kehilangan berberapa wakil rakyat akibat serangan penyakit, antaranya serangan jantung, angin ahmar, barah dan penyakit paru-paru.

Lalu ramai yang bertanya, apakah ini disebabkan kesan persaingan baru antara BN dan Pakatan, yang buat pertama kalinya berubah komposisi secara mendadak di parlimen Malaysia dan DUN negeri-negeri?

Ada logiknya juga dakwaan ini. Sebelum ini, wakil rakyat BN tidak mempunyai ramai pesaing.

Kini selepas Pakatan menjadi kuasa politik yang kuat, kesemua mereka harus bekerja keras untuk berdebat dan berlawan mengenai pelbagai isu.
Senarai di sebelah menunjukkan bahawa ramai wakil rakyat tidak mempunyai tahap kesihatan yang baik.


Ujian mental, fizikal 10 jam

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam mencadangkan agar semua wakil rakyat wajib menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tahun bagi memastikan mereka berada dalam keadaan yang baik untuk berkhidmat .

Liow akan membawa cadangan ini ke mesyuarat kabinet akan datang.

Ini satu usaha yang baik bagi memastikan setiap wakil rakyat yang bekerja siang dan malam untuk menjaga rakyat akan turut menjaga diri mereka sendiri, terutamanya dari segi kesihatan.

Ujian kesihatan sebelum pilihan raya Untuk pilihan raya umum ke-13, saya ingin mencadangkan agar satu undang-undang diperkenalkan agar setiap orang yang ingin bertanding merebut sesuatu kerusi mestilah lulus ujian kesihatan terlebih dahulu.

Di Indonesia, pada tahun 2009, kesemua calon yang bertanding pilihan raya presiden dikenakan syarat itu sebelum dibenarkan untuk turut serta bersaing.

Nama-nama besar seperti Susilo Bambang Yudhoyono, Jusuf Kalla, Megawati Sukarnoputri dan Prabowo juga terpaksa menjalani ujian kesihatan mental dan fizikal di Hospital Gatot Subroto Jakarta Pusat yang diketuai doktor terkenal Dr Supriyantoro selama 10 jam.

Malaysia juga harus mempunyai undang-undang yang sama. Jumlah 11 kematian wakil rakyat selepas pilihan raya umum ke-12 menguatkan lagi keperluan ini.

Wakil rakyat yang diundi dalam pilihan raya haruslah mempunyai keadaan kesihatan yang baik.

Patah tumbuh hilang berganti

Siapa pun yang bakal membentangkan undang-undang ini di parlimen haruslah disokong. Janganlah hanya kerana ia dibentang oleh parti lawan, maka perlu ditentang.

Hari ini Malaysia dalam keadaan di mana kedua-dua BN dan Pakatan akan saling menentang apa saja yang dicadangkan oleh pihak lawan politiknya walaupun ia suatu perkara yang baik.

Dalam keadaan ekonomi negara yang tidak baik dan inflasi terus meningkat akibat kenaikan harga barang, lebih baik wang negara digunakan untuk perkara-perkara yang lebih bermanfaat kepada orang ramai.

Jika segala pencegahan telah dilakukan dan masih terdapat wakil rakyat meninggal dunia, itu semua kuasa Tuhan. Kita tidak dapat elakkan.

Rakyat juga tidak akan marah kerana tindakan pencegahan telah dilakukan dan setiap wakil rakyat yang bertanding telah lulus ujian kesihatan.

Walaupun undang-undang ini bakal mengorbankan jaguh-jaguh politik sesetengah parti, ia haruslah dilihat secara positif.

Dalam sistem demokrasi, kita harus percaya, apabila seseorang pemimpin politik yang baik pergi, akan lahir pemimpin yang baru. Seperti kata pepatah, "patah tumbuh hilang berganti".

No comments

Powered by Blogger.