Bapa Nurin gagal tuntut ganti rugi RM2 juta

KUALA LUMPUR: Bapa Nurin Jazlin, kanak-kanak yang mati dibunuh kejam tiga tahun lalu, gagal dalam saman fitnah dikemukakannya terhadap kerajaan dan polis bagi menuntut ganti rugi RM2 juta, berhubung dakwaan mengeluarkan kenyataan kehilangan anaknya mempunyai kaitan dengan peminjam wang haram.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Asmabi Mohamad menolak dengan kos saman difailkan Jazimin Abdul Jalil selepas memutuskan bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar tidak mengeluarkan kenyataan fitnah pada sidang media 20 September 2007 seperti didakwanya.

Jazimin memfailkan saman itu pada 21 Ogos 2008 dengan menamakan Khalid, Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai defendan dengan mendakwa kenyataan Khalid yang disiarkan akhbar melalui artikel bertajuk Siasat Ah Long Larikan Nurin mencemarkan nama baik dan reputasinya serta bermaksud beliau meminjam wang dengan along serta membahayakan nyawa keluarganya.

Asmabi berkata, pemberita akhbar Kosmo selaku saksi defendan mengakui perkataan dalam artikel ditulisnya bukan kata-kata asal diucapkan Khalid dan beliau menulis berdasarkan pemahaman daripada fakta diucapkannya (Khalid).

“Pemberita New Straits Times dan Oriental Daily pula berkata, mereka tidak mendengar Khalid menyatakan seperti apa ditulis dalam Kosmo dan tidak mendengar Khalid berkata apa-apa berhubung peminjam wang haram.

“Sebagai ketua polis, beliau ada tanggungjawab moral untuk memaklumkan kepada masyarakat berhubung perkembangan siasatan kes pembunuhan Nurin Jazlin kerana ia kes bunuh berprofil tinggi.

“Dalam hal ini, plaintif menamakan pihak yang salah, sehubungan itu saman ditolak dengan kos,” katanya.

Peguam Kanan Persekutuan Noorin Badaruddin yang mewakili defendan memohon RM50,000 sebagai kos, bagaimanapun Asmabi membenarkan permohonan peguam Jazimin, Natasha Bashir supaya ia dinilai kemudian.

No comments

Powered by Blogger.