Hata Wahari : Utusan Rakyat bukan helah PKR

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Presiden NUJ, Hata Wahari menyatakan konsep ‘ Utusan Rakyat’, ialah hasil kombinasi idea dan visinya mengenai akhbar sebenar yang memperjuangkan etika kewartawanan dan kebebasan bersuara di negara ini.

Menafikan beliau menjadi alat Pakatan Rakyat, Hata menyatakan hal itu salah dilaporkan dalam Utusan Malaysia hari ini bahawa Utusan Rakyat adalah helah PKR untuk menarik sokongan Melayu dan mengambil inspirasi Utusan Malaysia.

“Saya telah hantar surat memohon untuk adakan pertemuan dengan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Mazlan dan Nurul Izzah Anwar dari PKR untuk buat pembentangan mengenai konsep Utusan Rakyat dan supaya mereka faham apa itu Utusan Rakyat sebenarnya. Tiada hal tersembunyi, ini hanya hasrat Presiden NUJ untuk persembahkan sebuah akhbar yang adil,” katanya.

Artikel bertajuk PKR mahu terbit Utusan Rakyat antara lain menyatakan kononnya PKR, mahu menambah sokongan orang Melayu dan menyaingi Utusan Malaysia.

Menurut laporan itu lagi, satu pembentangan kertas kerja oleh Hata Wahari telah dilakukan di dalam sebuah forum dan Utusan Rakyat nanti PKR mahu membina persepsi di kalangan orang Melayu bahawa PKR dan Pakatan Rakyat yang memperjuangkan nasib mereka.

Hata menjelaskan akhbar beliau ini memperjuangkan hak rakyat tanpa mengira kaum dan agama yang tertindas.

“Itu tidak betul sama sekali. Utusan Rakyat ialah hak rakyat. Rakyat perlu bebas bersuara. Tidak ada kaitan dengan PKR atau sesiapa.

“Konsep ia (Utusan Rakyat) ialah kita nak perjuangkan hak rakyat. Isu dia macam kemiskinan, harga barang yang tinggi, masalah kedai tak ada lesen, ini yang kita sebagai wartawan nak perjuangkan.Kalau hanya nak perjuang satu kaum sahaja masalah tak selesai. Itu perjuangan kita untuk rakyat. Tagline kita ialah ‘bebas bersuara.’

Menurut Hata lagi, selain sokongan PKR dan Pakatan yang memang memperjuangkan kebebasan bersuara, beliau telah berjumpa dengan pelabur yang berminat untuk projek ini.

Beliau sendiri sanggup menjual tanah bekas ladang peliharaan lembu miliknya seluas 5 hektar untuk menyumbang RM 1.2 juta sebagai modal projek ini.

Hata menyatakan projek ini telahpun dirancang dan hanya menunggu permit dari KDN dan bakal melancarkan versi e-Paper Utusan Rakyat bulan hadapan.

No comments

Powered by Blogger.