Isu Polis Bantuan Di Selangor: Angkuhnya Hishamuddin!

POLIS BANTUAN : MENTERI DALAM NEGERI TERLALU ANGKUH.

Saya amat terkejut apabila Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein, menolak cadangan Menteri Besar Selangor untuk mewujudkan Polis Bantuan di beberapa bandar raya dan bandar di Selangor. Sepatutnya beliau yang merupakan Menteri yang bertanggung jawab ke atas keselamatan awam mengalu-alukan cadangan dari Kerajaan Negeri Selangor demi kebaikan rakyat.

Wakil-wakil rakyat seperti saya kerap menerima tuntutan dari rakyat supaya pihak Polis membuka lebih banyak balai Polis atau pondok Polis. Mereka juga mahu pihak Polis mempertingkatkan lagi rondaan. Tetapi apabila tuntutan-tuntutan ini kami kemukakan kepada pihak Polis, jawapan yang kami selalu terima adalah kami tidak cukup anggota.

Saya juga pernah memberitahu bekas Ketua Polis Negeri Selangor, Dato' Khalid Abu Bakar, bahawa saya bersedia membina beberapa pondok Polis di dalam kawasan saya dengan menggunakan peruntukan saya. Walau bagaimanapun beliau menjawab pihak Polis tidak menjamin dapat membekalkan pondok-pondok itu dengan anggota yang diperlukan.

Negara kita tidak mempunyai jumlah anggota Polis yang mencukupi. Nisbah anggota Polis kepada penduduk di negara kita ( 1 anggota untuk 1,424 orang penduduk ) adalah lebih tinggi dari di negara-negarg jiran kita seperti Singapura ( 1 anggota untuk 295 orang penduduk )dan Thailand ( 1 anggota untuk 228 orang penduduk ). Malah ia adalah lebih tinggi dari nisbah yang dicadangkan oleh Polis Antarabangsa atau Interpol iaitu 1 anggota untuk 250 orang penduduk. Tetapi kenapa Menteri yang bertanggung jawab begitu angkuh apabila mendengar cadangan Menteri Besar Selangor itu? Sepatutnya beliau sekurang-kurangnya mendengar terlebih dahulu apa yang hendak dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Pemimpin-pemimpin Kerajaan Negeri dan wakil-wakil rakyat tidak mahu lagi menuding jari kepada pihak Polis apabila rakyat bertanya kenapa jenayah berlaku di mana-mana atau kenapa tidak cukup anggota Polis. Hasrat untuk menubuhkan Polis Bantuan adalah satu usaha agar Kerajaan Negeri sama-sama memikul tanggung jawab menjaga keselamatan awam. Dato' Seri Hishamuddin sepatutnya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Selangor kerana mahu turut membantu pihak Polis di dalam melaksanakan tanggung jawab mereka.

Setiap hari kita melihat lebih ramai penduduk yang mahu menubuhkan komuniti berpengawal atau 'guarded community' di taman perumahan mereka. Lebih ramai pemaju-pemaju perumahan yang mempromosikan komuniti berpagar atau 'gated comunity'. Rakyat merasa bimbang akan keselamatan mereka. Maka sebab itulah jumlah 'guarded community' dan 'gated community' semakin meningkat.

Rakyat mahu merasakan diri mereka selamat. Ini merupakan naluri manusia. Dengan jumlah anggota Polis yang sedia ada, mereka merasakan diri mereka tidak selamat. Kerajaan Negeri mahu setiap rakyat merasakan diri mereka selamat. Bukan hanya mereka yang tinggal di 'guarded community' dan 'gated community'. Oleh itu, cadangan Menteri Besar untuk menubuhkan Polis Bantuan adalah wajar.

Iskandar A. Samad
21 Februari 2011

No comments

Powered by Blogger.