Karima mengaku skandal seks dengan Ronaldo
KARIMA El MAHROUG
ROM - Seorang penari gelek, Karima El Mahroug, 18, yang mempunyai hubungan mesra dengan Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi mengaku dia pernah menjalin hubungan seks dengan bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo, lapor sebuah akhbar semalam.
Pengakuan tersebut dibuat Karima kepada pihak pendakwa raya yang melakukan siasatan sama ada perdana menteri itu pernah membuat bayaran kepadanya untuk melakukan hubungan seks.
Karima yang berketurunan Maghribi dan menggunakan nama komersial Ruby Rubacuori memberitahu, dia dan Ronaldo mengadakan hubungan seks selepas mereka bertemu di sebuah kelab malam.
Karima mendakwa, dia hanya berusia 17 tahun ketika bertemu dengan Ronaldo di sebuah hotel di Milan pada Januari 2010.
Menurutnya, sebaik sahaja dia bangun selepas aktiviti itu, Ronaldo yang merupakan bekas pemain kelab Manchester United (MU) itu sudah menghilangkan diri sambil meninggalkan wang tunai berjumlah 4,000 euro (RM16,625).
Akibat kecewa dengan tindakan Ronaldo, Karima mencurahkan minuman champagne kepada Ronaldo selepas mereka terserempak di sebuah kelab.
Bagaimanapun, Ronaldo yang dibeli Real Madrid dari MU dengan nilai 94 juta euro (RM390.15 juta) pada Jun 2009 itu menafikan tuduhan tersebut.
Dalam kenyataan Ronaldo menerusi laman maya GestiFute yang merupakan firma yang mewakili dirinya menjelaskan: "Beberapa media antarabangsa bertanya kepada saya tentang skandal seks bersama Karima yang sebelum ini mencipta kontroversi dengan kes Perdana Menteri Itali mengenai bayaran tutup mulut dan soal bawah umur.
"Laporan itu tidak benar sama sekali. Saya sendiri tidak mengenali wanita muda yang dimaksudkan ini. Saya juga tidak pernah bertemu, mengadakan janji temu atau terserempak dengannya sebelum ini. Buktinya, saya sedang mengadakan latihan bersama Real Madrid pada 29 Disember 2009.
"Secara fakta masa di antara Disember 2009 dan Jun 2010, saya tidak pergi ke Milan. Saya hanya menjadi mangsa akibat satu lagi laporan palsu. Namun, saya tidak akan sekadar berdiam diri terhadap sesiapa yang cuba mereka-reka cerita sambil memburukkan reputasi saya demi kepentingan peribadi mereka."
Karima baru-baru ini mengejutkan umum apabila dia dikaitkan dalam skandal seks dengan Berlusconi, 74.
Berlusconi, 74, akan dibicarakan di Itali pada April depan berhubung skandal seksnya dengan Karima semasa dia berumur 17 tahun oleh pihak pendakwa raya Milan. - Agensi
No comments
Post a Comment