PRK serentak cubaan untuk kekang pergerakan Anwar

Masdar Wahid

KUALA LUMPUR: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau dan Merlimau diadakan serentak, bertujuan mengekang pergerakan Datuk Seri Anwar Ibrahim daru membantu kempen jentera Pakatan Rakyat.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Dr Roland Chia Ming Shen berkata, Ketua Pembangkang itu memiliki pengaruh tersendiri bagi membina momentum jentera dalam mana-mana pilihan raya.

“Dengan menetapkan tarikh serentak, ia cubaan untuk melemahkan jentera Pakatan Rakyat kerana sumber tenaga kerja akan terbahagi dua seperti PRK Batu Sapi di Sabah dan Galas di Kelantan beberapa bulan lalu,” katanya kepada KeadilanDaily.com.

SPR pada 18 Februari lalu menetapkan penamaan calon bagi kedua-dua kerusi itu pada 26 Februari ini manakala pengundian pula berlangsung pada 6 Mac depan.

Malah, Dr Ronald berkata, penetapan tarikh pilihan raya itu dengan kes perbicaraan kes Fitnah II yang dihadapi Ketua Umum KEADILAN itu.

“Perbicaraan Anwar ditetapkan pada 21 Februari ini sehingga 25 Mac depan. Jika dilihat kronologi sebelum ini, setiap berlakunya PRK serentak, ketika itulah Anwar disibukkan mahkamah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru setiap jentera Pakatan Rakyat mempergiat usaha untuk menawan kedua-dua kerusi itu.

“Kita kena bersabar, satukan hati dan konsisten mengajak rakyat di kedua-dua kawasan itu untuk berterusan berani melakukan perubahan bagi memastikan kemenangan Pakatan Rakyat,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.