Wakil pengedar Proton yakin kekal jualan atasi Perodua

KUALA LUMPUR, 12 Feb - Persatuan Pengedar Proton Edar (Peda) yakin Proton boleh mengekalkan jualan semasanya mengatasi pesaing terdekatnya Perodua.

Ini boleh dicapai dengan kualiti, proses penghantaran, rangkaian produk dan pelan pemasaran yang lebih baik, kata persatuan itu dalam satu kenyataan hari ini.

“Kadar pertumbuhan KDNK ekonomi yang positif pada lima peratus pada 2011 dan peningkatan dalam pendapatan boleh guna akan mewujudkan pasaran pembeli kereta yang lebih besar.

“Kerjasama antara rangkaian dan prinsipalnya juga memainkan peranan penting bagi Proton untuk mengekalkan bahagian pasarannya,” kata persatuan itu dipetik daripada Bernama.

Ia berkata, pada Januari 2011, peningkatan jualan bagi Proton mengatasi Perodua, disumbang sebahagian besarnya daripada bekalan kereta yang banyak dan sokongan kukuh daripada bank dalam meluluskan pinjaman dan pengeluaran bayaran yang pantas.

Pameran Proton di Kuala Lumpur International Motorshow pada Disember, yang mempamerkan pelbagai prototaip serta reka bentuk dan keupayaan kejuruteraan jugamembantu memupuk keyakinan terhadap Proton.

Peda berkata, jualan Proton dijangka lebih positif tahun ini berikutan sokongan standard yang lebih baik dan proses penghantaran yang lebih cekap.

“Penggantian Persona dan pelbagai versi lain yang diberi wajah baharu yang akan dilancarkan tahun ini akan merangsangkan lagi pasaran. Di dalam perancangannya Proton mempunyai pelbagai versi yang diberi wajah baharu, pemasaran dan promosi untuk menarik pembeli daripada pelbagai latar belakang,” kata persatuan itu.

Bagaimanapun, ia berkata, sokongan yang tidak konsisten daripada pihak bank boleh menjejaskan jualan Proton.

Peda masih menerima aduan daripada pelanggan yang dapat memperoleh pinjaman sewa beli bagi kereta bukan Proton tetapi bukan bagi kereta Proton.

Ia berkata, purata peratusan kadar kelulusan sewa beli yang merosot daripada 65 peratus pada 2008 dan 58.5 peratus pada 2009 kepada 56.9 peratus pada 2010 berbanding kenaikan dalam serahan daripada RM54.4 bilion pada 2008 dan RM63.2 bilion pada 2009 kepada RM73.8 bilion pada 2010 adalah membimbangkan dan perlu ditangani oleh bank pusat.

“Berdasarkan kepada contoh rawak beberapa wakil pengedar di Lembah Klang, kadar kelulusan bagi pembeli Proton berada pada purata 30 peratus,” kata Peda.

No comments

Powered by Blogger.