Anak muda bakal dijadikan pekakas UMNO-BN… sekali lagi – Oleh Muhammad Zir

17 OKTOBER – Tiga cadangan Datuk Seri Najib Razak untuk anak muda telah menimbulkan banyak persoalan tentang niat dan hasil di sebalik keindahan nama-nama program yang cuba dijualnya kepada golongan belia.

Dalam pembentangan Bajet 2012, satu syarikat modal teroka milik kerajaan, iaitu MyCreative Venture Capital, akan ditubuhkan untuk menggalakkan pembabitan golongan muda menerokai bidang industri kreatif.

Untuk kesekian kalinya, ia membawa maksud, kerajaan UMNO-Barisan Nasional akan menggunakan wang rakyat untuk berniaga.

Ini adalah format perniagaan sentralisasi oleh kerajaan, kuasa dan monopoli kerajaan sedang berjalan rancak.

Dalam asas demokrasi sosial atau dalam konsep Pakatan Rakyat sekali pun, dasar disentralisasi menjadi matlamatnya. Inilah konsep Ketuanan Rakyat, kita mahu rakyat bijak berdikari dan hanya dipandu oleh kerajaan, bukan dicucuk hidung oleh kerajaan.

MyCreative Venture Capital

Cadangan kerajaan UMNO-BN untuk golongan belia itu membawa maksud akan wujud sebuah lagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Penubuhan demi penubuhan pada setiap kali Belanjawan dibentangkan di Parlimen tidak pernah menjanjikan apa-apa penambahbaikan pada sistem, hatta keuntungan syarikat GLC ini.

Apakah janji MyCreative Venture Capital (MVC) akan lebih berjaya daripada berlambak-lambak GLC yang sudah sedia?

MVC akan ditubuhkan untuk menggalakkan pembabitan golongan muda menerokai bidang industri kreatif. Maka sekali lagi kita ingin bertanya, adakah ‘keratif’ ini bermakna medium seni – seni muzik, filem atau sekadar menjadi cyber trooper UMNO di alam internet?

Jika demikian, dana ini sepatutnya disalurkan terus kepada kementerian yang terbabit seperti Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) atau Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara atau diagihkan kepada institusi-institusi sedia ada.

Contohnya, jika aliran seni tampak, maka salurkan ke Balai Seni Lukis Negara. Bukankah ia lebih jelas dan mudah tanpa perlu menubuhkan lebih banyak GLC?

Mengapa jika hanya untuk bidang kreatif maka harus ditubuhkan sebuah lagi GLC? Kos penubuhannya sudah tentu memakan belanja sedangkan kos pulangannya belum tentu berjaya.

Ini belum lagi dibincangkan pula tentang bidang kuasa kementerian dan jabatan terbabit yang selalunya dilihat sebagai menghalang kebebasan berekspresi golongan muda dengan menyekat pinjaman peralatan atau permohonan geran.

Gelanggang futsal

Kerajaaan UMNO-BN juga telah mengumumkan pembinaan tambahan gelanggang sukan futsal yang berjumlah 150 buah bagi mencapai matlamat “1 gelanggang 1 mukim”. Dari 150 buah ini, 30 buah daripadanya akan dibuat dengan padang tiruan dilengkapi dengan lampu limpah.

Kita akui, membina arena untuk anak-anak muda termasuk masyarakat awam bersukan amatlah baik. Itu tidak kita persoalkan, mana-mana kerajaan sekali pun harus melaksanakan keperluan ini dan tidak perlu menagih ‘kredit’ (pujian) dari rakyat.

Konsep bersukan harus dilihat sebagai aspek riadah dan kesihatan – mental dan fizikal. Itu jelas.

Apa yang selalu menjadi isu adalah cara ia dilaksanakan. Dalam hal ini, sudah tentu pengagihan kontrak membina dan menjaga gelanggang ini akan mengikut selera kerajaan UMNO-BN, iaitu menerusi syarikat kroni.

Inilah cara yang ‘sah’ untuk UMNO-BN merompak rakyat sendiri berkali-kali. Amalan ini adalah budaya UMNO sejak zaman Tun Mahathir Mohamad lagi.

Sebagai contoh, bandingkan dengan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor yang telah wujud lebih awal program ‘Jelajah Futsal’ yang mana di semua daerah termasuk luar bandar telah memiliki gelanggang futsal mereka sendiri.

Kewujudan gelanggang tidak lagi menjadi isu, hanya soal kualiti dan penambahbaikan sahaja yang sedang dirangka dan dibantu oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Ia dibina oleh pihak swasta dan operasinya berjalan begitu baik, malah kos sewaannya juga amat berpatutan. Ini berlaku sejak 2008 ketika Pakatan Rakyat mengambilalih pentadbiran Selangor. Kerajaan Pakatan Rakyat tanpa bimbang dan ragu telah melaksanakan disentralisasi aspek ini demi menggalakkan persaingan perniagaan yang sihat serta kegiatan anak muda yang bebas atau independen.

Nampaknya kerajaan UMNO-BN ingin memonopoli kegiatan anak muda menerusi bisnes gelanggang futsal. Entah-entah anak muda yang ingin bermain di gelanggang itu perlu mengisi borang keahlian UMNO dahulu, siapa tahu?

Program Strategik Belia 1Malaysia

Kerajaan UMNO-BN juga mengumumkan Program Strategik Belia 1Malaysia atau Strategic Action for Youth (SAY 1Malaysia) yang seakan-akan bunyi dengan program Rakan Muda.

Apakah kita sudah lupa pada program Rakan Muda? Apa jadi pada hari ini? Mengapa perlu sebuah lagi program sedangkan Rakan Muda yang sudah sedia ada struktur dan infrastrukturnya itu boleh dirumus dan diperbaiki lagi?

Kesemua persoalan ini tidak pernah dan tidak akan dijawab oleh kerajaan UMNO-BN kerana mereka beranggapan “aku memerintah, aku punya suka lah”. Inilah sikap kerajaan yang yang dicanangkan oleh Datuk Seri Najib Razak.

Tawaran ikhlas Pakatan Rakyat

Dalam pelbagai usaha yang akan dilaksanakan oleh kerajaan UMNO-BN, kita jangan lupa apa pula yang akan dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat kelak apabila mereka memerintah.

Antaranya, sejumlah RM100 juta akan diperuntukkan kepada program Pilihan Anak Muda yang melibatkan anak muda Malaysia berumur bawah 30 tahun, untuk mengimplimentasikan projek-projek dan program-program pilihan mereka melalui sistem undian.

Walau pun kita memahami bahawa inisiatif ini belum begitu lengkap perinciannya, asasnya cukup jelas sekali. Anak muda akan diberi dana untuk mereka memilih, membentuk dan melaksana sendiri apa-apa program yang mereka mahukan tanpa perlu dihambat oleh kehendak kerajaan sepertimana yang UMNO-BN lakukan.

Mesejnya amat jelas, anak muda diberi kepercayaan untuk berprogram, beriadah dan bergerak bebas dalam keadaan yang penuh harmoni dan bertanggungjawab. Bukankah tawaran ini lebih realistik?

Bagi golongan muda yang sejati, wang bukanlah segala-galanya bagi mereka. Maruah, harga diri dan jati diri serta komitmen yang progresif menjadi pegangan kebanyakan anak muda.

Dalam hingar-bingar UMNO-BN menabur duit ratusan juta itu, Pakatan Rakyat telah mengumumkan satu dasar yang amat dinanti-nantikan oleh kebanyakan golongan muda, khususnya mahasiswa.

Pakatan Rakyat akan memulihkan autonomi dan kebebasan ahli-ahli akademik universiti- univesiti di Malaysia dengan menghapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Pemansuhan AUKU bertujuan membebaskan pelajar-pelajar daripada cengkaman Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan memerdekakan pensyarah dan tenaga pengajar daripada kongkongan briokrasi dan politik UMNO-BN. Malah, kepimpinan universiti-universiti awam akan ditentukan berdasarkan merit.

Inilah hadiah paling penting yang tidak akan dilaksanakan oleh kerajaan UMNO-BN. Bagi mereka, anak muda hanyalah perkakas untuk mereka.

Sedangkan Pakatan Rakyat melihat bahawa dengan kebebasan berekspresi, berdialog dan berakedemik, pasti akan menyegarkan kembali idealisme anak muda yang telah dimandulkan oleh UMNO-BN selama hampir 40 tahun.

Jika anak muda mensia-siakan peluang ini, jangan merungut jika kehidupan di kolej atau universiti, atau pun di alam kerja sewaktu muda, masih terperuk dan mandom selama ini. Selagi UMNO-BN di tampuk kuasa, selama itu anak muda tidak merasai nikmat kebebasan sebenar. – Roketkini.com

No comments

Powered by Blogger.