BN terus pinggirkan Sabah dan Sarawak

KUALA LUMPUR, 17 OKT – Walau pun Bajet Barisan Nasional 2012 diwarwarkan sebagai bajet rakyat berpendapatan rendah oleh para pengampu mereka, rakyat miskin kekal menderita dengan janji-janji palsu pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Teo Nie Ching berkata, projek-projek dalam Bidang Keberhasilan Negara (NKRA) yang diumumkan Perdana Menteri dua tahun lalu telah gagal mencapai matlamatnya.

Beliau memberi contoh-contoh kegagalan BN yang menyebabkan tekanan hidup semakin memburukkan keadaan rakyat berpendapatan rendah, terutama rakyat Malaysia yang tinggal di Sabah dan Sarawak.

Di Sabah yang didakwa kubu kuat BN:

* Sehingga September lalu, 180,48 km jalan bertar telah siap atau telah diperbaiki. Bagaimana pun, sasaran sebenarnya ialah 366,67km, iaitu hanya mencapai 49 peratus.

* Hanya 3,463 isi rumah luar bandar dan pedalaman telah mendapat bekalan air bersih, gagal dan jauh dari sasarannya, iaitu 18,063 – hanya mencapai 19 peratus.

* Hanya 1,080 isi rumah luar bandar dan pedalaman yang telah menerima bekalan elektrik sedangkan sasarannya adalah 4,509 rumah, iaitu cuma mencapai 24 peratus.

Di Sarawak yang juga dikatakan kubu kuat BN:

* Sehingga September lalu, 112,84 km jalan tar telah siap atau yang telah diperbaiki sedangkan sasarannya adalah 222.95km, iaitu hanya mencapai sasaran 51 peratus.

* Sebanyak 8,823 rumah luar bandar dan pedalaman telah menerima bekalan air bersih, berbanding sasarannya, iaitu 13,024, yakni mencapai sasaran 68 peratus sahaja.

* Hanya 4,360 isi rumah luar bandar mendapat bekalan elektrik sedangkan sasarannya ialah 21,792, iaitu hanya mencapai 20 peratus.

Menurut Teo, enam menteri yang terlibat dalam enam NKRA hanya pandai membuat pengumuman tanpa ada hasil sebenar.

“Pencapaian sebenar enam NKRA itu, sehingga September 2011 langsung tidak mencapai sasaran utama Perdana Menteri, apatah lagi ianya adalah lebih rendah daripada apa yang diunjurkan sehingga akhir tahun ini.

“Setiap tahun, kerajaan persekutuan menaburkan pelbagai janji, tetapi berapa ramai di antara mereka yang hanya bercakap sahaja? Berapa ramai daripada mereka yang kedengaran seperti hebat tetapi langsung tidak praktikal?

“Setelah lebih dua tahun, berapa banyak projek-projek bercita-cita tinggi ini telah dapat telah dilaksanakan?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Serdang berkata, melalui jawapan di Parlimen baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Koh Tsu Koon berkata tahap pencapaian projek-projek itu adalah sekadar ‘memuaskan’.

Justeru, Teo mengingatkan Rakyat Malaysia dengan janji Najib dalam Bajet 2011 tahun lepas yang kononnya mahu membina enam lebuh raya yang mana sehingga hari ini belum dilaksanakan.

Malah, jelas beliau lagi, dalam pembentangan Bajet 2012 Najib baru-baru ini, Perdana Menteri telah mengumumkan pula tambahan lima projek lebuh raya baru yang akan dibina.

“Sehingga tahun 2011 akan berakhir, tidak satu pun lebuh raya yang dijanjikan itu telah dibina,” katanya, mengingatkan rakyat supaya tidak terpedaya dengan janji-janji Barisan Nasional.

Lebuhraya yang sepatutnya dibina itu ialah Lebuh raya Pantai Timur Jabor-Kuala Terengganu, Lebuh raya Pantai Barat Banting-Taiping, Lebuh raya Segamat-Tangkak, Lebuh raya Central Spine dan menaik taraf jalan Kota Marudu-Ranau. – Roketkini.com

No comments

Powered by Blogger.