MRT: Rakyat menang…setakat ini

PETALING JAYA, 14 OKT – Kontroversi pengambilan tanah untuk pembinaan sistem pengakutan MRT menunjukkan bahawa rakyat berada di pihak yang benar apabila membantah tindakan kerajaan Barisan Nasional menyalahgunakan Kanun Tanah Negara.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua yang mengalu-alukan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Datuk Azhar Abdul Hamid semalam yang berjanji bahawa segala warisan Jalan Sultan tidak akan dirosakkan, menyifatkan bantahan penduduk tempatan sebelum ini memang kena pada tempatnya dan telah mencapai kejayaan.

“Kenyataan Datuk Azhar bertentangan dengan jawapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan yang sebelum ini berkata tidak ada jaminan untuk mengembalikan hak milik tanah di kawasan itu kepada pemilik asal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, kenyataan Azhar itu menolak kenyataan Prasarana Bhd, bekas pemilik MRT, yang sebelum ini menyimpulkan bahawa tiada jaminan untuk menangani pembinaan terowong bawah tanah itu tanpa menjejaskan pemilik tanah.

“Seperti yang ditekankan berkali-kali dalam tempoh kontroversi ini, Kanun Tanah Negara 1965 telah secara khusus dipinda pada tahun 1990 untuk membolehkan pengambilalihan tanah bawah tanah tanpa menjejaskan harta permukaan dengan memasukkan Bahagian Lima (A) (seksyen 92A hingga 92G) di bawah Fasal 3.

“Pindaan ini membolehkan pelupusan tanah di bawah tanah, yang sama ada boleh beri hak milik itu atau dipajak untuk kegunaan untuk membina terowong, tempat letak kereta dan pemasangan paip,” katanya.

Justeru itu, Pua berkata bagi mengelakkan sebarang keraguan, MRT perlu mengisytiharkan secara rasmi bahawa tiada permukaan tanah akan diambil secara paksa dan hanya digunakan atas nama kerja pembinaan semata-mata.

“Tiada sebidang tanah pun yang boleh diperoleh hanya semata-mata bagi menjana keuntungan kerajaan,” katanya.

Dalam masa sama, Pua menyeru rakyat agar berani bersuara menyuarakan hak-hak dan tuntutan mereka bagi memastikan bahawa rakyat tidak menjadi mangsa kepada cengkaman kuasa kerajaan.

“Sebagai contoh, perhimpunan aman Bersih 2.0 telah berjaya menekan kerajaan untuk menubuhkan Jawatankuasa Pemilih Parlimen mengenai reformasi sistem pilihanraya.

“Walau pun tidak ada jaminan, lebih-lebih lagi jika pilihan raya diadakan sebelum pembaharuan sistem pilihan raya diadakan, ia sekurang-kurangnya adalah satu langkah ke hadapan dalam sistem politik negara,” katanya.

Menurutnya, kemarahan rakyat Malaysia juga telah membawa kepada pengumuman oleh Perdana Menteri yang berjanji memansuhkan undang-undang zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Tindakan-tindakan itu membuktikan bahawa tekanan rakyat dan tekanan politik untuk membetulkan kesalahan dan penyalahgunaan kuasa akan menghasilkan kejayaan, ujarnya.

Beliau menambah bahawa sepatutnya lebih ramai rakyat Malaysia tampil ke hadapan untuk bersuara dan mengambil bahagian mempertahankan hak asasi dan hak-hak mereka. – Roketkini.com

No comments

Powered by Blogger.