Khalid : Belanjawan 2012 Tidak Jamin Hasil Ekonomi Berterusan

KUALA LUMPUR 07 OKT : Walaupun belanjawan Kerajaan Persekutuan dikatakan bersifat kebajikan, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata ia tidak memberi pelan yang kukuh bagi membolehkan negara mengharungi keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu.

Khalid berkata jika pelan untuk memperoleh hasil tidak ditingkatkan, usaha untuk memberi kebajikan tidak akan kesampaian.

“Jika struktur ekonomi kita tidak jelas hasil pendapatan negara kita tidak dapat dikekalkan di dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu,” kata Khalid bila ditemui TV Selangor selepas pembentangan belanjawan 2012.

Kerajaan Persekutuan membentangkan belanjawan RM232 bilion bagi tahun 2012 yang antaranya memperuntukkan bayaran sekali RM500 bagi isi rumah berpendapatan rendah dan pemansuhan semua yuran pendidikan.

Bajet kerajaan yang menganggarkan defisit 4.7 peratus adalah 12 bilion lebih daripada belanjawan alternatif yang dibentangkan Pakatan Rakyat, tiga hari lalu.

Antara usaha-usaha lain adalah penukaran skim gaji penjawat awam dari SSM kepada SBPA dan baucher buku teks kepada pelajar universiti.

Sebanyak RM978 juta diperuntukkan untuk merancakkan pembangunan di lima wilayah ekonomi dan pakej insentif percukaian bagi membangunkan Pusat Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur.

No comments

Powered by Blogger.