PenjelasanBalas Berkaitan Kenyataan Ketua DHPP Sdr Hu Phang Chow oleh Mingguan Malaysia Ahad 2/10/2011

Oleh Mohamed Fadzli Hassan

AssalamuAlaikum.

Saya ingin merujuk kepada laporan berhubung kenyataan Ketua DHPP Sdr Hu Phang Chow oleh Mingguan Malaysia Ahad 2/10/2011. Saya berpandangan laporan itu tidak tepat dan lari dari maksud sebenar beliau. Pembaca boleh membandingkan laporan itu dengan laporan oleh Sinar Harian Kelantan pada hari yang sama. Ianya amat jelas berbeza dan bagi saya laporan Sinar Harian adalah lebih menepati maksud Sdr Hu Phang Chow. Atas nama Ketua Penerangan PAS Kelantan, saya ingin membuat penegasan seperti berikut:

1. DHPP lahir dari kesedaran di kalangan masyarakat bukan Islam bahawa perjuangan yang dibawa oleh PAS bukan sahaja untuk menentang kezaliman BN malah adalah untuk keadilan dan kesejahteraan semua kaum tanpa mengira agama. Pengalaman Rakyat bukan Islam di bawah kerajaan PAS dan PR di Kelantan sudah cukup membuktikan hal ini.

2. Sebelum DHPP dinaikkan taraf menjadi salah satu sayap penting PAS, kelab penyokong PAS di kalangan masyarakat bukan Islam sangat faham akan matlamat perjuangan PAS untuk melaksanakan keseluruhan Syariat Islamiyyah termasuk juga hukum hudud. Malah ada dikalangan pimpinan DHPP sendiri yang meminta supaya hukuman hudud ini dilaksanakan menggantikan undang-undang jenayah yang ada kerana ia lebih adil dan diyakini mampu menyelesaikan ancaman jenayah yang amat menggerunkan dalam negara kita sekarang ini.

3. Jadi tidak patut timbul soal DHPP tidak faham dengan sikap PAS kerana saya yakin keseluruhan ahli DHPP sudah sedia maklum dan faham benar akan matlamat perjuangan PAS ini.

4. Enakmen Jenayah Syariah Kelantan 1993 yang dikenali sebagai Enakmen Hudud ini telah diluluskan oleh Kerajaan negeri Kelantan sejak tahun 1993 lagi. Jadi isu DHPP tidak dibawa berbincang berhubung dengan hudud ini adalah tidak timbul langsung (ketika itu DHPP belum wujud).

6. Kita juga ingin menegaskan sekali lagi bahawa dua golongan yang tidak perlu takut kepada hudud. Pertama orang bukan Islam kerana PAS hanya akan melaksanakan hudud ini kepada orang Islam di Kelantan sahaja. Ini telah ditegaskan oeh YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Yang kedua adalah orang yang tidak mempunyai niat untuk melakukan jenayah hudud, kerana hudud adalah hukuman bagi para penjenah berat sahaja.

7. Bagi masyarakat Islam, hudud adalah hukum dari Allah. Tidak boleh soal, sama ada kita boleh melaksanakannya atau tidak. Apa yang boleh kita bincangkan adalah bagaimana cara untuk melaksanakannya. Sebelum Enakmen Hudud Kelantan diluluskan, ia telah dibincang dan dimaklumkan pada rakyat. Manakala penggubalannya dilakuman oleh para pakar dalam dan luar Kelantan juga dari Universiti tempatan dan luar negara.

7. Kerajaan negeri dan PAS Kelantan akan menggerakkan agensi kerajaan dan organ parti bagi menjelas dan meningkatkan kefahaman hudud ini terutamanya kepada masyarakat bukan Islam. Bagi langkah seterusnya, pada hari Sabtu 8/10/2011 kerajaan negeri menganjurkan Seminar Sehari Keharmonian Masyarakat Majmuk: Pengalaman Kelantan bertempat di PCB Resort, Pantai Cahaya Bulan.

Antara pembentangnya adalah Dr Ann Wang Seng, Cik Kumutha, Dr Wong Chin Huat, Lau Chit Fang, Prof. Viveka Sri A. Rajaretinam, Shah Kirit Kakulal Govindji, YB Dato' Husam musa, YB Dr Mujahid Yusuf Rawa, saya sendiri dan Wacana Khas bersama YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Borang penyertaan boleh didapati di www.buletin. kelantan.gov.my. Penyertaan dari masyarakat bukan Islam amatlah dialu-alukan.
Terima kasih.

YB Dr Mohamed Fadzli Dato Hassan
Exco Kerajaan Negeri Kelantan
Ketua Penerangan PAS Kelantan.

No comments

Powered by Blogger.