YAB Najib. Masalah Umno Selangor Bermula Disebabkan Keangkuhan Noh Omar!

Surat untuk Umno Selangor

Blur

Apabila kita membaca mesej-mesej di twitter Datuk Seri Noh Omar, kita akan terus tersenyum dan menggeleng kepala. Baru-baru ini, seorang yang bernama Adi Marwan telah bertanya Noh Omar mengapakah permohonannya untuk pinjaman TEKUN tiada mendapat apa-apa jawapan dari pihak terlibat.

Mula-mula sekali Noh Omar bertanya kepada Adi Marwan siapakah Ketua Cawangan/Bahagian Umno kawasan Adi dan seterusnya beliau bertanya sama ada Adi ada mendapatkan sokongan mereka ini semasa membuat permohonan untuk pinjaman TEKUN.

Sememangnya ahli politik dari Tanjung Karang tiada pernah menghampakan pemerhati-pemerhati politik. Dari zaman beliau di "boo" oleh pelajar-pelajar di Universiti Malaya dalam tahun 1999 apabila beliau mengherdik mereka agar sentiasa berterima kasih kepada kerajaan, sehinggalah ketika beliau diasak oleh Azmin Ali mengenai dakwaan duit rakyat yang digunakan oleh ahli politik Umno yang dibelanjakan untuk majlis rumah terbuka hari raya.

Portfolio Kementerian Pertanian ini adalah amat penting bagi masyarakat luar bandar, khususnya para petani, yang rata-ratanya amat memerlukan bantuan kerajaan. Di negera-negara Barat sekalipun, seperti Amerika Syarikat dan Perancis, kerajaan amat berhati-hati di dalam menyokong dan membantu para petani.

Sememangnya di Malaysia, sekiranya dilihat bilangan orang Melayu yang terlibat dalam sektor pertanian, adalah amat penting bahawa polisi dan perjalanan kementerian ini dijalankan secara adil.

Akan tetapi, jika menterinya mengambil pendirian bahawa sokongan orang-orang Umno adalah diperlukan bagi memohon apa-apa peruntukan di bawah kementerian beliau, ini jelas merupakan penyalahgunaan kuasa. Sebarang bentuk dana yang diperolehi oleh mana-mana kementerian adalah milik rakyat, dan Umno sendiri adalah sememangnya tidak mampu untuk menyediakan dana tersebut dari tabung mereka sendiri, dan hanya orang yang tidak berakal sahaja yang akan menganggap bahawa semua rakyat Malaysia adalah orang Umno.

Pihak pimpinan Umno perlu sedar akan masalah ini dan tidak boleh menghalalkan apa yang dilakukan oleh Noh Omar ini sebagai "strategi untuk membantu Umno".

Kita masih ingat lagi di mana pimpinan Umno Selangor juga yang bersalah yang membenarkan Datuk Harun Idris yang memerintah Selangor dengan cara "political patronage" yang akhirnya jatuh tersungkur kerana rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Contoh "political patronage" ini adalah hanya memberikan kontrak dan bantuan kepada ahli Umno atau dengan sokongan Umno sahaja. Secara amnya, ia mungkin adalah baik untuk Umno, tetapi jika dilihat dengan lebih mendalam, usaha sebegini rupa adalah hanya untuk menguntungkan yang terlibat sahaja agar mereka mempunyai pengikut setia yang terhutang-budi setelah mendapat habuan.

Benarlah kata orang, politik jenis ini hanya inginkan kuasa dan kekayaan, dan hanya menggunakan "kepentingan Umno/Melayu" sebagai slogan atau retorik kosong semata-mata.

Umno Selangor juga bersalah dalam membenarkan "Abang Z" bermaharajalela di Kelang sehingga dapat membina 'istana'. Umno Selangor dan ditolak oleh rakyat bukanlah disebabkan oleh PKR atau DAP ataupun PAS. Umno Selangor sendiri yang bermasalah. Perdana Menteri kita telah menasihati Umno Selangor baru-baru ini agar jujur dan ikhlas.

Bila lagi Umno Selangor akan jujur dan ikhlas?

1 comment

Unknown said...

perangai orang umno apabila berduit memang menyakitkan hati.ada peruntukan entah ke mana, memanglah cakap berdegar-degar, semua orang boleh dapat, tapi...hanya umno sahaja, dengan sebab itu, rakyat pun menolak umno ke tepi,semoga lebih ramai umno kritis terhadap noh yang penampilannya nampak kasar dan tidak berhemah. ini pandangan orang kecil secara jujur.

Powered by Blogger.