'Kedegilan' Idris burukkan perpecahan Umno Terengganu
Meskipun Setiausaha Umno Terengganu, Dato' Rosol Wahid cuba meyakinkan rakyat negeri itu kononnya parti itu tidak berpecah dan masih bersatu, apa yang dilihat dan didengar rakyat Terengganu menggambarkan sebaliknya.
Kenyataan terkini oleh dua pemimpin kanan Umno negeri beberapa hari lalu bahkan tambah menjelaskan betapa parti itu kini dilanda krisis dan persengketaan yang sangat meruncing.
Pada 11 Mei lalu, Rosol menegaskan bahawa Umno Terengganu masih kuat dan perpaduan antara anggotanya masih kukuh, sama seperti dulu.
Beliau dipercayai menjawab pertikaian ditimbulkan berbagai pihak mengenai krisis yang dikatakan melanda kepimpinan tertinggi parti di negeri itu, terutama ekoran pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Dato' Ahmad Said sebagai Menteri Besar menggantikan penyandangnya, Datuk Seri Idris Jusoh.
Pelantikan yang mendapat tentangan kesemua Adun BN itu mewujudkan kemelut agak lama. Suasana tegang dalam Umno Terengganu akhirnya berjaya diredakan apabila Majlis Tertinggi Umno merestui Ahmad sebagai Menteri Besar baru.
Pun begitu, harapan semua pihak agar keputusan itu diterima baik kedua-dua kumpulan bertelagah dalam Umno Terengganu tidak menjadi kenyataan.
Pelantikan Exco negeri, Speaker DUN dan Setiausaha Politik dibuat Ahmad selepas itu tambah melebarkan jurang antara kedua-dua kumpulan.
Ternyata Ahmad terpaksa mengutamakan peribadi yang menyokong beliau sepanjang kemelut sebelum ini bagi mengisi jawatan-jawatan penting tersebut.
Langkah itu sekali gus menguburkan sebarang hasrat mewujudkan kombinasi anggota yang agak berkompromi antara kedua-dua puak itu dalam pembentukan kerajaan negeri.
Keadaan itu menghasilkan perpecahan lebih ketara kemudiannya. Salah satu contoh paling ketara tidak wujudnya penyatuan antara para pemimpin Umno Terengganu ialah apa yang mereka pamerkan sepanjang persidangan DUN awal bulan ini.
Peranan dimainkan Adun-Adun BN yang membentuk tiga perempat suara dalam DUN Terengganu ternyata amat di luar jangkaan. Kecuali dua-tiga Adun BN yang bangkit menghadapi serangan dan hujah wakil-wakil PAS, sebahagian besar yang lain memilih untuk mendiamkan diri.
Apapun alasan diberikan atas kebisuan mereka itu, apa yang pasti Umno Terengganu sukar menafikan ia ada kaitan dengan pergeseran dalaman sesama anggotanya.
Bahkan, ada suara-suara mengatakan beberapa Adun berpengalaman sengaja mendiamkan diri setelah merasakan diri mereka dipinggirkan Ahmad dalam pembentukan kabinet negeri.
Mereka lalu memilih untuk membiarkan Menteri Besar dan Exconya sahaja berhadapan dengan hujah dan serangan wakil-wakil PAS. Di masa sama, sehingga pertengahan Mei Badan Perhubungan Umno negeri yang dipengerusikan Idris dikatakan masih belum memanggil mesyuaratnya.
Apa lagi sebabnya bagi sebuah parti yang menjadi tonggak kerajaan negeri gagal bermesyuarat selepas lebih dua bulan pilihan raya berlalu, jika tidak kerana tiada perpaduan antara anggotanya? Perkara itu juga antara yang cuba dinafikan Rosol.
Ia bagaimanapun dibuktikan benar oleh seorang anggota Perhubungan Umno Terengganu, Dato' Mohd Nasir Ibrahim Fikri, minggu lalu. Mohd Nasir yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, dalam kenyataan pada 20 Mei mengakui bahawa Umno Terengganu kini berpecah dua.
Katanya, satu kumpulan menyokong kepimpinan Idris, manakala kumpulan yang lain menyokong Ahmad. "Kelompok ini memang wujud dan tidak boleh dinafikan. Ada orang Idris dan ada orang Ahmad Said. Rakyat tidak boleh buat apa kerana ini keputusan pucuk pimpinan parti," katanya.
Memburukkan keadaan itu, sebahagian besar Adun BN yang dilantik menganggotai kerajaan Ahmad adalah mereka yang tidak ada apa-apa jawatan penting dalam Perhubungan Umno negeri.
Akibatnya, banyak perkara membabitkan kepentingan parti gagal diselaraskan dengan tindakan kerajaan. Begitu juga, banyak perkara diputuskan kerajaan yang memerlukan dokongan parti gagal disempurnakan apabila pemimpin parti tidak sekepala dengan ketua kerajaan.
Sebab itu banyak pihak mendesak agar Idris melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu bagi diserahkannya kepada Ahmad selaku Menteri Besar.
Bagi kebanyakan rakyat, kedua-dua jawatan utama parti dan kerajaan perlu dipegang orang yang sama. Hal itu akan memudah dan melancarkan segala penyelarasan kerja dan tugasan antara parti dan kerajaan.
Malangnya pandangan dan harapan itu tidak dapat diterima baik Idris sendiri. Beliau sebaliknya menegaskan tidak akan meletak jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan Umno negeri, walaupun sedar tindakannya itu boleh memburukkan kecelaruan politik negeri.
"Saya bukannya orang kalah. Saya menerajui parti dan memenangi pilihan raya dengan majoriti lebih dua pertiga," katanya, sebagaimana disiarkan kebanyakan akhbar, Ahad (25 Mei).
Katanya, beliau mengakui hakikat Ahmad telah direstui pucuk pimpinan parti sebagai Menteri Besar dan mempunyai penyokongnya sendiri. Bagaimanapun beliau (Idris) juga mendakwa mendapat sokongan besar anggota kerana berjaya memimpin Umno Terengganu, terutama dalam pilihan raya lalu.
Idris malah mengulangi pendirian bahawa kesemua 23 Adun BN Terengganu masih lagi menyokong beliau. Justeru tidak ada sebab baginya mengundurkan diri dari jawatan tertinggi parti di peringkat negeri itu.
Kenyataan keras dan tegas Idris itu sekali gus memudarkan sebarang hasrat melihat suasana lebih jernih dalam Umno Terengganu.
Keadaan celaru itu dijangka akan berterusan selagi tiada tindakan tegas daripada pucuk pimpinan Umno peringkat kebangsaan, terutama berkaitan pelantikan Pengerusi Perhubungan Umno negeri yang dianggap menjadi kunci permasalahan dalaman Umno Terengganu kini.
Jika mahu, Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi boleh membuat rombakan itu serta-merta, sebagaimana dibuatnya kepada beberapa negeri sebelum ini. Kecuali jika Abdullah juga menyimpan pendirian serupa dengan Idris
No comments
Post a Comment