sapa penipu???? tolong jawab

Pendedahan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bahawa keputusan membatalkan penggunaan dakwat kekal pada jari pengundi dibuat oleh kabinet pada hari pembubaran Parlimen mengejutkan para peserta "Seminar Kebangsaan Pilihan Raya 2008: Demokrasi Terlaksana" di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dekat sini, semalam.

Abdul Rashid yang dijemput memberikan ucapan pembukaan dalam seminar itu, mendedahkan perkara tersebut ketika menjawab soalan Ketua Pengarang Malaysiakini.com, Steven Gan semasa sesi soal jawab.

"Saya belum menyatakan sebelum ini bahawa yang sebenarnya terjadi ialah kabinet telah menolak cadangan kami (untuk memperkenalkan dakwat kekal) pada 13 Februari, hari parlimen dibubarkan," kata Rashid.

Menurut beliau, SPR sudah bersedia memperkenalkan kaedah yang disifatkannya sebagai 'ketinggalan' itu untuk menolak keraguan orang ramai tentang pengundian berganda.

"Kami menerima tekanan dari banyak pihak (untuk melaksanakan dakwat).

"Saya tidak menyatakan ia hanya datangnya daripada parti pembangkang tetapi juga badan bukan kerajaan (NGO) yang mendesak kami berbuat sesuatu demi menghilangkan kebimbangan akan berlaku penipuan dalam pilihan raya," ujarnya.

Atas desakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), sebuah badan yang menggabungkan parti-parti politik dan puluhan NGO negara, SPR bersetuju melaksanakan salah satu daripada tiga tuntutan utama Bersih tetapi membatalkannya empat hari menjelang hari pengundian atas alasan 'keselamatan'.

Pengumuman mengenainya dibuat Rashid dalam satu sidang akhbar yang turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail, empat hari sebelum hari pengundian.

Menurut sumber, kira-kira RM2.9 juta dibelanjakan untuk membeli 48,000 botol dakwat tidak mudah padam dari India.

Menjelas lebih lanjut, Rashid berkata, kabinet telah diberitahu wujudnya usaha penyokong PAS di Kelantan yang membeli dakwat kekal dari Thailand untuk memperdayakan orang-orang tua di kampung-kampung.

"Saya dimaklumkan bahawa PAS di pantai timur membeli dakwat dari Thailand. Kemudian Umno mendapat tahu (mengenainya) dan Umno juga membeli dakwat tersebut," katanya.

Sehubungan itu, jelas beliau, keputusan membatalkan penggunaan dakwat kekal itu dibuat bagi mengelakkan keadaan huru-hara pada hari pengundian ekoran tindakan sabotaj pihak-pihak terbabit.

Rashid juga mendakwa penggunaan dakwat kekal bertentangan dengan Artikel 119 Perlembagaan berhubung hak setiap rakyat untuk mengundi.

Sementara itu Bernama melaporkan kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa keputusan supaya membatalkan penggunaan dakwat khas dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu bukan satu arahan, sebaliknya pandangan kerajaan kepada SPR.

Perdana Menteri berkata, walaupun pada dasarnya keputusan itu dibuat oleh kerajaan, namun ia disampaikan dalam bentuk pandangan dan keputusan akhir tetap tertakluk kepada budi bicara SPR selaku suruhanjaya yang menggerakkan perjalanan pilihan raya di negara ini.

"Memang perkara itu menjadi tajuk yang dibincangkan dalam Kabinet sebab kita ada beberapa maklumat berkaitan perkara ini, antaranya ada pihak-pihak tertentu yang telahpun membeli dakwat ini walaupun mereka tidak ada kuasa untuk membelinya.

"Dan kita mencurigai bahawa dakwat itu akan digunakan dengan cara-cara yang boleh mengelirukan dan menimbulkan keadaan yang boleh menyulitkan, boleh membawa masalah kepada proses pengundian yang berlaku pada hari itu," katanya.

"Pilihan raya sudah berjalan dengan baik, keputusan sudah diumumkan dan semua pihak dah menerima, jadi apa lagi yang hendak dijadikan isu," katanya.

Dewan Rakyat, 6 Mei lalu diberitahu polis tidak menemui sebarang bukti terdapatnya individu yang membawa masuk dakwat penanda kuku dari Thailand untuk digunakan dalam PRU-12.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar memberitahu, polis telah membuka tiga kertas siasatan di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan berikutan laporan kononnya dakwat itu telah dibawa masuk oleh beberapa individu dari Thailand.

"Polis telah menemubual pengadu serta saksi-saksi, didapati tiada sebarang bukti menunjukkan dakwat tersebut dibawa dari Thailand," jelasnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Poh Kuan

harakah daily

No comments

Powered by Blogger.