Sebelum 8 Mac Umno hanya bincang 'Ketuanan Menantu'?



Menarik, dalam perbahasan Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa (PAS Bachok) yang beberapa kali dicelah oleh menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin (BN Rembau) berhubung pendirian PAS terhadap isu 'Kontrak Sosial' yang kononnya dipertikai oleh DAP.

Malangnya Khairy sendiri terperangkap dengan permainan soalannya itu apabila Azmin Ali (KeADILan Gombak) yang mencelah sewaktu perbahasan Titah Ucapan Yang DiPertuan Agong yang disampaikan oleh Ustaz Nasharudin dan Azmin menyatakan secara sinis berhubung pertikaian Umno terhadap isu ketuanan Melayu.

Azmin bingkas bangun sebaik sahaja Khairy bertanyakan soalan kepada Nasharudin mengenai pendirian PAS terhadap isu 'Kontrak Sosial' yang didakwanya dipertikai oleh DAP.

Azmin secara sinis bertanya "Apakah sebabnya semenjak kebelakangan ini pemimpin elit umno sering kali laungkan ketuanan Melayu.

"Hari ini kita dengar suara kepimpinan tinggi Umno yang menyinggung satu pakatan yang kuat iaitu Pakatan Rakyat, seolah-olah kita (Pakatan Rakyat) mengorbankan kepentingan Islam dan Melayu,

"Saya nak tanya mengapa agaknya hanya hari ini kita dengar suara-suara ketuanan Melayu sedangkan sebelum 8 Mac (sebelum pilihan raya umum) yang dibincangkan ialah 'Ketuanan Menantu'," kata Azmin sambil disambut dengan sorakan dari kalangan ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Menjawab soalan Azmin itu, Ustaz Nasharudin menjelaskan bahawa PAS berasa hairan, selepas 8 Mac Umno dilihat cukup bersungguh-sungguh dalam kononnya memperjuangkan agenda Melayu dan Islam.

Ia amat berbeza dengan situasi sebelum pilihan raya sepertimana yang dilihat rakyat, katanya.

"Dahulu demonstrasi dianggap keji oleh Umno/BN, tetapi selepas pilihan raya umum 8 mac lalu, Umno sendiri menjadikan demonstrasi jalan kepada mereka meluahkan pandangan," katanya sinis.

Untuk rekod, sebelum ini sewaktu himpunan Bersih menjadi isu yang hangat diperkatakan oleh banyak pihak di negara ini, menantu Perdana Menteri yang kini menjadi ahli Parlimen Rembau pernah melabelkan peserta demonstrasi itu sebagai 'beruk'.

Hingga kini Khairy tidak pernah mengeluarkan kenyataan memohon maaf meskipun pada minggu lalu Gobind Sing Deo (DAP Puchong) mencabar Khairy memohon maaf atas kenyataan itu.

Selain itu Khairy juga pernah dikaitkan dengan isu campur tangannya dalam pentadbiran Perdana Menteri, dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi termasuk ia pernah didedah oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai perkara tersebut.

Antara dakwaan yang pernah dikaitkan dengan Khairy ialah, isu pemilikan saham ECM Libra yang akhirnya dijual semula dan isu penjualan saham-saham Pantai Holdings kepada syarikat di Singapura selain pembatalan projek 'Jambatan Bengkok'.

Terdahulu Ustaz Nasharudin dalam ucapan awalnya mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia yang memberikan undi besar kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum lalu.

Kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, DAP dan KeADILan sebenarnya bertitik-tolak daripada sikap kepimpinan Umno/BN yang bongkak sebelum ini, katanya.

Rakyat yang muak dengan sikap kepimpinan Umno/BN dan tindakan-tindakan memperbodoh rakyat akhirnya mengubah undi mereka kepada Pakatan Rakyat, katanya.

Permulaannya dapat dilihat semasa Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) mengadakan himpunan aman pada November tahun lalu yang diperlekeh oleh kepimpinan Umno/BN, katanya.

Rakyat yang tercabar dengan kebongkakan kepimpinan Umno/BN akhirnya menunjukkan pengajaran dengan 100,000 orang turun ke jalan raya untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap perjalanan proses pilihan raya umum di negara ini, katanya.

Akhirnya kata beliau, lima buah negeri kini ditadbir Pakatan Rakyat dan ianya menjadi kebimbangan kepada Umno/BN.

No comments

Powered by Blogger.